
Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, kerajaan tidak seharusnya mengenakan sekatan ke atas penternak kerana pasaran ayam bersifat dinamik.
“Apabila bercakap tentang ayam, permintaan dan bekalan cepat berubah-ubah disebabkan kekurangan, bencana alam, selesema burung, kenaikan kos, dan sebagainya.
“Kita mungkin lihat situasi di mana penternak Malaysia boleh mengisi jurang bekalan di negara lain, jadi mereka tidak sepatutnya dikenakan sekatan kerana ini boleh menyebabkan mereka terlepas peluang,” katanya kepada FMT.
Pada 29 Ogos, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Inflasi Annuar Musa mengumumkan bahawa larangan eksport ayam akan ditarik balik pada Oktober, tetapi berkata hanya ladang tertentu akan dibenarkan menternak ayam untuk dieksport.
Langkah ini adalah untuk memastikan bekalan ayam cukup untuk pasaran domestik, katanya.
Bagaimanapun, kata Ferlito, mengehadkan bilangan pengeluar yang menternak ayam untuk dieksport tidak semestinya menjamin bekalan yang mencukupi untuk pasaran domestik atas pelbagai faktor.
“Jika penyelesaiannya semata-mata melarang eksport, maka (masalah) patut selesai selepas 1 Jun (setelah larangan berkuat kuasa),” katanya.
“Tetapi kita tahu itu tidak terjadi. Faktor-faktor lain, termasuk kos dedak dan harga siling, mempengaruhi bekalan kerana penternak tidak tergalak untuk mengeluarkan lebih ayam.
“Lebih teruk lagi, keadaan ini mengakibatkan pengeluar tempatan ketinggalan pasaran eksport yang lumayan di Singapura.”
Singapura ialah pasaran eksport terbesar untuk ayam Malaysia tetapi dengan larangan yang dikenakan, negara itu mendapatkan bekalannya dari Indonesia.
Ferlito juga berkata, sekatan sedemikian menyebabkan pelabur tawar hati untuk menceburi industri ayam itik kerana pulangannya tidak menggalakkan.
Sementara itu, seorang penternak ayam yang enggan dinamakan menyambut baik penarikan balik larangan eksport itu.
“Larangan eksport yang berterusan boleh menyebabkan kita (penternak Malaysia) kehilangan pasaran eksport Singapura dengan kekal,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, menurutnya, bukan semua ladang di negara ini layak mengeksport ayam kerana ladang-ladang perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh negara pengimport.
Kerajaan melarang eksport ayam mulai 1 Jun sebagai sebahagian daripada usaha membendung kekurangan dalam pasaran domestik.