PM ucap tahniah kepada Sam Lim, bangga Bahasa Melayu gema di Parlimen Australia

PM ucap tahniah kepada Sam Lim, bangga Bahasa Melayu gema di Parlimen Australia

Ismail Sabri Yaakob menyatakan kebanggaan Ahli Parlimen Tagney Sam Lim bertutur dalam Bahasa Melayu dalam ucapan sulung, pada sidang Dewan Perwakilan Australia, hari ini.

Ahli Parlimen Tangney Sam Lim merupakan anak kelahiran Muar, Johor, dan pernah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah dan selamat berkhidmat kepada anak jati Muar, Johor, Sam Lim yang dilantik sebagai Ahli Parlimen Tagney, di Dewan Perwakilan Australia.

Perdana menteri menerusi ciapan di Twitter turut meluahkan rasa bangga apabila Lim turut bertutur dalam Bahasa Melayu dalam ucapan sulungnya pada sidang Dewan Perwakilan Australia, hari ini.

“Bahasa Melayu bergema di bumi Australia! Saya bangga melihat Bahasa Melayu dimartabatkan di pentas dunia oleh@SamLimMP ketika menyampaikan ucapan sulung beliau di Parlimen Australia.

“Tahniah atas pelantikan sebagai Ahli Parlimen Tangney di Perth dan selamat berkhidmat!” katanya.

Lim, 61, dari Australian Labor Party (ALP) dilantik sebagai ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Tangney di Perth pada pilihan raya umum Australia, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Lim menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

Lim yang lahir pada 1961, pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia selama dua tahun, pada 1983, sebelum bertugas sebagai pelatih ikan lumba-lumba serta mengusahakan beberapa perniagaan di Malaysia dan Australia.

Beliau bersama isteri dan tiga anaknya kemudian berhijrah ke Australia dan menyertai Western Australia Police Academy pada 2006 seterusnya bertugas di Perth, malah pada 2020 beliau dianugerahkan ‘Police Officer of the Year’ atas khidmatnya dalam masyarakat pelbagai budaya ketika penularan pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.