MMA nasihat orang awam terus pakai pelitup muka

MMA nasihat orang awam terus pakai pelitup muka

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata pemakaian pelitup muka juga membantu menghalang penyakit sebaran udara, bukan sahaja Covid-19, daripada merebak.

Orang awam dinasihatkan sentiasa berwaspada dan sentiasa menyediakan pelitup muka untuk digunakan.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan orang ramai terus memakai pelitup muka walaupun peraturan berhubung itu sudah dilonggarkan, sambil menyatakan ia mampu menghalang penularan jangkitan sebaran udara, selain Covid-19.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata negara ketika ini berdepan jumlah jangkitan tinggi influenza.

“Penggunaan pelitup muka akan membantu mengawal penularan termasuk influenza,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, dilaporkan kes selesema di negara ini kebanyakan membabitkan kanak-kanak dan mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bagaimanapun, kes penyakit seperti influenza (ILI) di negara ini terkawal walaupun ada beberapa kluster dikesan di sekolah berasrama.

Awal hari ini, Khairy mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam kebanyakan kawasan tertutup, berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, individu berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan wanita mengandung masih digalakkan terus memakai pelitup muka di kawasan tertutup.

Koh berkata, walaupun banyak keadaan di mana mandat mengenalkan pelitup muka dimansuhkan, “kita masih perlu kekal berwaspada dan sentiasa menyediakan pelitup muka ketika memerlukan”.

Kerajaan menguat kuasa secara mandatori pemakaian pelitup muka di semua kawasan, bermula 1 Ogos 2020, ketika pandemik Covid-19 teruk melanda. Namun, dasar itu mula dikendurkan, pada 1 Mei 2022, dengan orang awam tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka di kawasan terbuka.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Muhyiddin Yassin, berkata keputusan melonggarkan lagi peraturan dibuat berdasarkan data dan kajian, lapor Bernama.

Beliau berkata, keputusan itu harus diterima semua pihak mengambil kira banyak negara termasuk United Kingdom kini sudah membenarkan rakyatnya tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam kenderaan awam atau di tempat yang sesak.

“Ini satu perkembangan yang saya fikir agak baik. Kita tidak boleh paksa (orang ramai memakai pelitup muka) kalau situasi (pandemik COVID-19) sudah bertambah baik, dan kita juga perlu fikirkan keselesaan, cuma kena berjaga-jagalah,” kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.