Mahkamah putus perintah tahanan askar tidak sah, pangkat dikembalikan

Mahkamah putus perintah tahanan askar tidak sah, pangkat dikembalikan

Mahkamah mendapati ada ketidaktetapan prosedur yang membawa kepada perintah tahanan selama 21 hari itu itu.

Hakim Anselm Charles Fernandis berkata, perintah tahanan Fazli Fadzil adalah salah dan tidak sah. (Gambar Bloomberg)
MELAKA:
Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah tahanan 21 hari terhadap seorang askar oleh pegawainya kerana melanggar arahan pegawai atasan, tahun lalu.

Hakim Anselm Charles Fernandis ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman Fazli Fadzil, berkata terdapat ketidaktetapan prosedur yang membawa kepada perintah tahanan berkenaan.

“Berikutan itu, perintah penahanan itu salah dan tidak sah,” katanya dalam penghakiman yang diberikan secara dalam talian.

Fernandis turut memerintahkan pangkat koperal Fazli dikembalikan, selain pembayaran ganti rugi yang akan ditentukan selepas taksiran dilakukan.

Pada 22 Feb, Fazli diambil tindakan selepas bertengkar dengan pegawai atasannya yang enggan membenarkannya bercuti bagi menguruskan proses dokumentasi di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, sebelum beliau bersara awal.

Pegawai atasan itu juga mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penahanan selama 21 hari, selain mengarahkan pangkatnya diturunkan daripada koperal kepada prebet.

Memandangkan kes itu tidak cukup serius untuk dikendalikan mahkamah tentera, pegawai atasannya menyelesaikan perkara berkenaan mengikut prosedur ketenteraan.

Susulan itu, Fazli memfailkan kes di Mahkamah Tinggi dengan memohon deklarasi bahawa penahanannya serta penurunan pangkat itu adalah tidak sah.

Plaintif berumur 34 tahun itu memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan pegawai atasannya di Kem Sungai Udang, Lt Kol Azran Alias, serta kerajaan sebagai responden.

Peguam A Mathan mewakili Fazli manakala Peguam Persekutuan Zairani Tugiran hadir bagi pihak kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.