
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam rayuan kerajaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk meneruskan perbicaraan.
Hakim Hanipah Farikullah, yang mempengerusikan panel, menolak rayuan itu dan memerintahkan kerajaan membayar kos RM10,000. Beliau berkata terdapat “isu undang-undang rumit” yang perlu didengar pada perbicaraan penuh.
Beliau memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar kes itu pada 14 Sept.
Indira memfailkan samannya tahun lepas, memetik ketiadaan tindakan polis melaksanakan waran terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, kerana gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa, kepadanya.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A Dadi berkata, seseorang individu tidak boleh menyaman kerajaan atau pegawainya kerana tidak melakukan tindakan memandangkan tiada undang-undang yang memperuntukkannya, kecuali Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Menurut beliau, Seksyen 7(3) Akta itu adalah satu-satunya undang-undang yang diperuntukkan kerana sengaja tidak mengambil tindakan, sambil menambah bahawa ia terhad kepada pembinaan, penyelenggaraan jalan dan jambatan, antara lain.
Beliau berkata, tiada remedi atau hak untuk menyaman kerana tidak mengambil tindakan di bawah Seksyen 20 Akta Polis, yang hanya menyatakan tugas am pegawai polis.
Katanya, Mahkamah Persekutuan hanya memerintahkan waran komital untuk ketua polis negara melaksanakan, dan bukan untuk mendapatkan semula Prasana. Oleh itu, katanya, ketua polis negara tidak bertanggungjawab atas “kesakitan dan kebimbangan” yang dialami oleh Indira.
“Siapa yang menyebabkan kesakitan, kebimbangan dan kerosakan ini? Pada kami, itu bekas suami Pathmanaban (Riduan), bukan ketua polis negara,” katanya.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira berkata, walaupun tidak ada pihak berkuasa yang ditubuhkan mengenai isu tidak mengambil tindakan di Malaysia, namun terdapat banyak kes undang-undang lazim England yang boleh dirujuk oleh mahkamah.
Rajesh juga berkata, semakan kehakiman terhadap polis di Mahkamah Tinggi di Ipoh telah dilupuskan, jadi tidak timbul isu pertindihan seperti yang didakwa oleh peguam persekutuan.
Hanipah, yang turut bersidang dengan Hakim Gunalan Muniandy dan Zaidi Ibrahim berkata, Mahkamah Tinggi adalah betul dalam menolak permohonan peguam persekutuan supaya saman itu dibatalkan.
Katanya, ia adalah perkara yang mesti ditangani melalui perbicaraan.
“Kami berpendapat bahawa berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, terdapat isu undang-undang yang kompleks, termasuk isu tafsiran Seksyen 7(2) Akta Prosiding Kerajaan, Seksyen 20 Akta Polis, dan juga kedudukan undang-undang biasa sengaja tidak mengambil tindakan oleh pegawai awam.
“Tuntutan sekarang tidak mewajarkan pembatalan. Kami mendapati tiada kesilapan dalam penghakiman awal untuk menolak permohonan itu,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mahu membatalkan saman Indira atas alasan ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah, dengan mendakwa Indira telah tersilap memulakan tindakan sivil.
Defendan juga berkata, semakan kehakiman Indira terhadap kerajaan masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Mahkamah Persekutuan pada 2016 telah mengarahkan ketua polis negara untuk melaksanakan waran komital terhadap Riduan selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah dengan enggan menyerahkan anak perempuan mereka, Prasana.
Prasana berusia setahun ketika Riduan membawanya pergi pada 2009.