
Lim berkata, BNS telah menamatkan kontrak kepada Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk membeli peralatan dari pihak pengeluar asal (OEM) untuk membina kapal terbabit.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada pihak pengeluar asal produk itu bersetuju untuk membekalkan perkakasan bagi enam kapal itu seperti yang dijanjikan dalam kontrak ditandatangani dengan CAD atau CED.
“Apakah tarikh-tarikh penghantaran untuk keenam-enam LCS ini? Adakah enam LCS ini akan disiapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030) sedangkan Surat Niat (LoI) projek ini dikeluarkan seawal Rancangan Malaysia ke-9?,” soalnya.
Menurut laporan The Edge, Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jumaat berkata, mereka tidak menjangka penamatan CAD dan CED akan melambatkan lagi projek.
Katanya, penamatan kontrak membolehkan syarikat mengadakan rundingan terus dengan OEM, sambil menambah bahawa ia boleh dilakukan dalam tempoh penghantaran yang dicadangkan untuk kapal itu.
“BNS komited untuk menghantar kapal mengikut jadual baharu, yang akan dirundingkan dengan kerajaan,” katanya menurut laporan itu.
Pada 8 Ogos, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, LCS pertama yang dibina oleh BNS akan siap dalam “sekurang-kurangnya setahun hingga dua tahun”
Bagaimanapun, ia dipersoalkan bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong, yang menyatakan unjuran Hishammuddin tidak realistik.