Jangan kecil-kecilkan isu berat sebelah kehakiman, Zaid beritahu Thomas

Jangan kecil-kecilkan isu berat sebelah kehakiman, Zaid beritahu Thomas

Isu ini ialah prinsip yang sudah lama dalam undang-undang, dan menjadi perkara asas kepada keadilan, kata bekas menteri undang-undang itu.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, beliau ‘hairan’ mengapa Tommy Thomas tidak faham mengenai berat sebelah.kehakiman.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menegur Tommy Thomas atas komen dibuat bekas peguam negara itu semasa temu bual baru-baru ini yang menurut Zaid, “mengecil-ngecilkan” isu berat sebelah kehakiman.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Thomas menggunakan analogi sukan untuk menerangkan percubaan gagal bekas perdana menteri Najib Razak untuk menggugurkan Hakim Mohd Nazlan Ghazali daripada mendengar perbicaraan kes SRC International yang dihadapinya, atas alasan berat sebelah kehakiman.

“Anda datang untuk permainan badminton di peringkat akhir, dan satu pasukan tidak mahu bermain, mengadu tentang pengadil. Perlawanan tamat – ia terbatal,” katanya.

Menjawab komen Thomas, Zaid berkata, salah bagi bekas peguam negara untuk mengambil ringan isu berat sebelah kehakiman ini.

Membangkitkan kes mahkamah di England pada 1998 yang dikenali sebagai “Pinochet (No. 2)”, Zaid berkata, mahkamah tertinggi England, “House of Lords”, mengetepikan keputusannya sendiri untuk mengekstradisi diktator Chile Augustine Pinochet selepas maklumat yang tidak diketahui sumbernya membawa kepada penemuan bahawa Lord Hoffman, salah seorang daripada lima hakim yang mendengar kes itu, dikaitkan dengan Amnesty International, yang menyokong keputusan ekstradisi itu.

“(Berat sebelah kehakiman) ialah prinsip yang sudah lama dalam undang-undang. Saya hairan mengapa peguam negara Pakatan (Harapan) ini tak faham.

“Dalam kes Najib, bukan (semata-mata) panggilan telefon sulit. Ia datang dengan dokumen-dokumen SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), daripada badan-badan kerajaan menunjukkan hakim yang mengadili Najib terlibat secara langsung dalam isu semasa yang nak diketengahkan di Mahkamah Persekutuan.

“Malangnya kita tidak dapat membawa keterangan tersebut. Dianggap tidak relevan,” kata Zaid.

Beliau menggesa agar Thomas tidak mengecil-ngecilkan isu berat sebelah ini, dengan berkata, ia perkara asas kepada keadilan.

“Mungkin kerana beliau terlibat sangat dengan pakatan politik, beliau tak nampak sangat isu ini,” katanya, sambil mengingatkan peguam untuk “mendengar kata hati nurani” mereka.

Zaid turut membidas Thomas kerana mencadangkan peguam Najib bertindak dengan cara yang menjejaskan kestabilan suasana politik semasa.

“(Kita hanya memudahkan) dialog, perbincangan dan libat urus politik – itu sihat,” katanya.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Thomas memberikan pandangannya mengenai perbicaraan dan rayuan kes SRC International Najib.

Najib disabitkan kesalahan oleh Nazlan, hakim Mahkamah Tinggi, pada 28 Julai 2020 atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun lagi penjara jika ingkar.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjaranya.

Pada Selasa, peguam mewakili Najib, Shafee & Co, memfailkan permohonan kebenaran untuk menyemak keputusan mahkamah tertinggi itu, memetik salah laku keadilan yang mengakibatkan haknya untuk membela diri dinafikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.