‘Titah Agong saya jadikan panduan’, kata Shahidan berkait pengampunan diraja Najib

‘Titah Agong saya jadikan panduan’, kata Shahidan berkait pengampunan diraja Najib

Menteri Wilayah Persekutuan yang juga ahli Lembaga Pengampunan mengambil maklum titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bahawa kuasa menghukum dan memberi ampun tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, berkata beliau tidak boleh buat kenyataan terbuka kerana ia membabitkan perundangan, termasuk ‘dunia dan akhirat’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim yang juga ahli Lembaga Pengampunan berkata, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam, akan dijadikan panduan susulan permohonan pengampunan diraja dikemukakan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Katanya, kenyataan berhubung proses pengampunan Najib yang menjalani hukuman penjara 12 tahun berkait dana SRC International, tidak boleh dibuat secara terbuka dan dengan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, kenyataan membabitkan usul pengampunan akan dikeluarkan apabila tiba masa yang sesuai.

“Saya juga ahli majlis (Lembaga Pengampunan) berkenaan akan buat yang terbaik. Saya tidak boleh buat kenyataan terbuka kerana ia membabitkan perundangan, membabitkan dunia dan akhirat,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Sultan Abdullah bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawab pada hari kemudian.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di Kuantan.

Titahnya, undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

Dalam pada itu, Shahidan turut mengecam tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam yang dikatakan melemparkan tuduhan liar serta tidak berasas terhadap naib presiden yang juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dengan hanya menyebut nama ‘LA’, Shahidan berkata, individu kini membuat jerayawara (roadshow) untuk memburuk-burukkan Ismail.

“Ada seorang bernama LA, buat roadshow memaki perdana menteri. Sekiranya parti lain sudah membuat gerak kerja untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) tetapi orang bernama LA ini maki perdana menteri.

“Macam mana ‘poster boy’ dimaki macam tu? Itu satu perbuatan tidak betul,” katanya.

Khamis lalu, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Kamarul Zaman Yusoff, membuat laporan polis terhadap Lokman susulan kenyataannya dalam Facebook yang mendakwa Ismail ada membuat perjanjian dengan pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menggantikan peguam negara serta mempercepat kes terhadap Najib dan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.