Tangani isu projek rundingan terus menerusi Akta Perolehan Kerajaan, kata G25

Tangani isu projek rundingan terus menerusi Akta Perolehan Kerajaan, kata G25

G25 mengingatkan penjawat awam supaya patuh kepada Akta Tatacara Kewangan, Akta Kontrak Kerajaan 1949 dan Arahan Perbendaharaan sebelum melaksanakan sebarang arahan menteri.

G25 menuntut kerajaan menggubal Akta Perolehan Kerajaan (GPA) seperti dijanjikan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA – G25 menuntut kerajaan supaya bersungguh menggubal Akta Perolehan Kerajaan (GPA) sebagai langkah pembaharuan dalam pengurusan kewangannya.

G25 dalam kenyataan, berkata kerajaan perlu memperkenalkan pembaharuan itu pada kadar segera seperti dijanjikan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019.

“Kami menyokong saranan IDEAS ( Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi) supaya kerajaan perlu bersungguh dengan cadangannya untuk menggubal GPA yang telah dijanjikannya di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019.

“(GPA) akan menambah baik kaedah-kaedah perolehan yang sedia ada untuk menangani masalah-masalah perolehan kerajaan yang telah lama wujud, seperti amalan rundingan secara langsung yang berleluasa,” kata G25.

Menurut G25 dengan merujuk kepada Model Undang-Undang UNCITRAL (Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa), Akta Perolehan Awam yang diperbaharui juga akan membantu meningkatkan ketelusan dalam proses perolehan.

Selain itu, G25 mengingatkan penjawat awam supaya patuh kepada Akta Tatacara Kewangan, Akta Kontrak Kerajaan 1949 dan Arahan Perbendaharaan sebelum melaksanakan sebarang arahan menteri.

“Penjawat awam perlu diperingatkan bahawa adalah tidak wajar bagi mereka untuk mengikut arahan menteri tanpa terlebih dahulu memastikan yang arahan tersebut mengikut Akta Tatacara Kewangan, Akta Kontrak Kerajaan 1949 dan Arahan Perbendaharaan,” katanya.

Katanya, ketua setiausaha (KSU) dan mana-mana pegawai bawahannya tidak akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan atas pelanggaran prosedur itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.