
Sebaliknya, Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan boleh mengagihkan semula spektrum itu dalam kalangan pengendali rangkaian di negara ini.
Katanya, strategi yang dicadangkannya itu akan memberi motivasi kepada pengendali rangkaian dan mendorong mereka mara dengan tugas pelaksanaan 5G.
Beliau mengulas laporan dua pengendali rangkaian menarik diri daripada skim pengagihan saham DNB.
Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, Telekom Malaysia Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd bersedia menandatangani perjanjian untuk melanggan saham DNB, manakala Digi.com Bhd dan Celcom Axiata Bhd masih memerlukan kelulusan lembaga pengarah, sama ada akan meningkatkan pegangan ekuiti mereka dalam DNB.
Sebaliknya, Maxis Communications dan U Mobile menolak tawaran untuk mengambil saham dalam DNB.
Tengku Zafrul berkata, syarikat asing menunjukkan minat tinggi terhadap pasaran tempatan, namun keutamaan akan diberikan kepada pemain tempatan.
Ibrahim mendakwa syarat kontrak pengagihan semasa tidak adil kepada pengendali rangkaian kerana walaupun menjadi pemegang saham, mereka perlu membayar kadar tinggi untuk kelajuan internet tambahan.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan juga harus mempertimbangkan konsep rangkaian dwi borong, yang akan memberi insentif kepada pengendali rangkaian untuk melancarkan liputan 5G di Sabah dan Sarawak.
Beliau juga berharap kerajaan tidak mempertimbangkan untuk membawa masuk syarikat asing sebagai pengganti kepada pengendali rangkaian yang menarik diri.
“Kita sepatutnya menjual spektrum kepada pemain tempatan, tetapi pastikan mereka mendapat tawaran adil,” katanya.
Ibrahim berkata, pengendali rangkaian tempatan perlu diberi lebih banyak masa untuk menyemak kontrak baharu itu, memandangkan penggabungan dan pengambilalihan memerlukan masa.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dilaporkan berkata, kementeriannya tidak mahu halangan sementara itu melambatkan pelaksanaan 5G yang dijangka bermula bulan ini.
Pelan pelancaran 5G berdepan beberapa penangguhan sejak ia pertama kali dijadualkan untuk dilaksanakan pada hujung 2021, dengan pengendali rangkaian tidak mahu membeli spektrum itu pada peringkat awal berikutan isu harga dan ketelusan.
Mac lalu, Putrajaya menawarkan 70% pegangan ekuiti dalam DNB kepada telco untuk memastikan mereka mempunyai kuasa membuat keputusan dalam pelaksanaan 5G.