Krisis buruh: Eksekutif diletak di barisan pengeluaran, negara patut tersedar, kata bekas menteri

Krisis buruh: Eksekutif diletak di barisan pengeluaran, negara patut tersedar, kata bekas menteri

Johari Abdul Ghani berkata, krisis buruh yang dihadapi negara boleh mendorong pelabur ke negara lain di rantau ini.

Kilang-kilang terpaksa menarik eksekutif dan pengurus kanan untuk mengendalikan barisan pengeluaran disebabkan kekurangan pekerja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Masalah genting kekurangan buruh yang menyebabkan kilang terpaksa menarik eksekutif dan pengurus kanan untuk mengendalikan barisan pengeluaran sepatutnya menyedarkan negara, kata seorang bekas menteri.

Bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani mengulas liputan FMT mengenai krisis buruh yang memaksa pengeluar dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) menolak tempahan bernilai jutaan ringgit.

Kegawatan itu berpotensi mendorong eksodus pelaburan dan bakat dari Malaysia, yang tersenarai sebagai pengeksport semikonduktor dan litar bersepadu keenam terbesar dunia pada 2021.

“Tanpa tenaga kerja dan bakat mahir yang diperlukan, wujud risiko kita kehilangan daya saing. Kemelut bakat ini bukan sahaja akan menyekat pelaburan E&E baharu daripada Malaysia tetapi juga boleh memberi tekanan kepada pelabur sedia ada untuk beralih ke negara Asean lain,” kata Johari, seorang usahawan berpengalaman, memberi amaran.

Johari Abdul Ghani.

Dalam senario suram ini, Malaysia akan menjadi rentan terhadap negara Asean lain yang mendambakan statusnya dalam sektor E&E.

“Memandangkan Malaysia telah membina ‘kolam bakat’ E&E yang kukuh melalui pelaburan yang besar selama ini, kita akan menjadi sasaran utama bagi pengembangan negara Asean.

“Jika negara lain menarik bakat kita, masalah ‘brain drain’ (kehilangan golongan berkemahiran) kita akan menjadi lebih mendalam dan tarikan pelaburan masa depan Malaysia akan menjadi malap,” kata Johari.

Memecahkan ‘bottleneck’

Walaupun kerajaan telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan sistem itu, “bottleneck” (cerutan) masih berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk menangani permintaan terpendam bagi pekerja asing apabila ekonomi dibuka semula.

Ribuan majikan beratur di Kementerian Sumber Manusia untuk ditemuduga bagi permohonan kuota pekerja asing mereka, tetapi dilaporkan telah “ditolak”, mengakibatkan kekacauan. Malah mereka yang telah ditemuduga dan dijanjikan keputusan dalam tempoh 14 hari telah menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan jawapan.

Apa yang boleh dilakukan Malaysia untuk menyelesaikan krisis ini?

“Mungkin penyelesaian terbaiknya adalah kerajaan menyegerakan kelulusan mendapatkan pekerja asing menerusi sistem automatik yang telus dan dapat dijangka,” kata Johari.

Pemusatan dan automasi penting untuk mempercepat proses permohonan dan kelulusan mendapatkan pekerja asing.

“Secara idealnya, sebuah kementerian atau pusat sehenti khas patut ditugaskan untuk menguruskan semua perkara berkaitan pelabur tempatan dan asing, termasuk mekanisme buruh dan bakat,” cadang Johari.

Mematuhi ikrar mesra perniagaan

Satu aspek utama keyakinan pelabur dan daya saing Malaysia ialah kemudahan menjalankan perniagaan di sini. Oleh itu, kerajaan harus menunjukkan integritinya dan mempertahankan imej mesra perniagaan dengan membawa masuk pekerja asing yang dapat menampung keperluan pelabur.

“Sepanjang beberapa dekad ini, banyak syarikat telah membuat keputusan untuk melabur di Malaysia kerana mereka dijamin dapat menjalankan perniagaan dengan mudah. Ini termasuk memastikan ketersediaan pekerja berkemahiran rendah dan tinggi. Negara mesti tunaikan kewajipan ini,” tegas Johari.

“Kerajaan boleh mengambil langkah bijak dengan melibatkan diri dengan syarikat, membincangkan pra-syarat untuk membekalkan pekerja asing bagi membantu Malaysia meningkatkan lagi rantaian nilai.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh berunding dengan pelabur sedia ada untuk membawa masuk proses nilai tambah tinggi tambahan yang boleh menggunakan dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi yang ada di negara ini.”

Mengapa tidak ambil orang tempatan bekerja?

Terdapat usaha untuk mengambil pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan yang ada, namun menurut sumber dalaman industri, ini tidak dapat dilaksanakan secara praktikal kerana rakyat tempatan menolak pekerjaan berkemahiran rendah. Inilah sebabnya syarikat-syarikat memerlukan pekerja asing dengan segera.

Mengambil orang tempatan untuk pekerjaan berkemahiran rendah juga tidak produktif bagi wawasan negara untuk menjadi ekonomi berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

“Keutamaan kerajaan harus ditumpukan pada mengembangkan bakat Malaysia bagi pekerjaan bernilai dan berkemahiran tinggi, bukannya menggalakkan mereka untuk mengambil pekerjaan berkemahiran rendah. Jika tidak, ekonomi akan mundur,” kata Johari.

Strategi pelaburan yang diperbaharui

Sehubungan itu, Johari berkata, penting untuk kita berfikir secara strategik dalam mengatur pelaburan langsung asing (FDI) sebagai alat yang berkesan untuk kemampanan ekonomi.

“Kita patut bersikap telus tentang kemampuan dan kecekapan bakat tempatan untuk memberi gambaran yang lebih realistik tentang prospek dan situasi FDI,” katanya.

“Ini akan membolehkan pelabur membawa masuk perniagaan dan aktiviti yang sepadan dengan kemahiran dan bakat sedia ada di negara ini.”

Seterusnya, ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan untuk bakat tempatan yang sepadan dengan kelayakan mereka, menyokong pengekalan bakat dan mengurangkan arbitraj gaji.

Selain itu, mempertahankan jenama dan daya saing negara sebagai hab menarik untuk pelaburan dan bakat harus menjadi keutamaan kerajaan.

“Kita mempunyai rekod prestasi mampu menampung semua keperluan FDI. Oleh itu, kita perlu serius menangani krisis buruh ini. Jika tidak, amat sukar bagi Malaysia untuk menarik FDI pada masa akan datang,” tambah Johari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.