
Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan progresif mengenai siasatan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia.
“Annuar harus menyatakan tindakan yang telah diambil beliau atau agensi terlibat setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
“Pencerobohan data ini melibatkan soal keselamatan institusi kewangan negara kita dan memerlukan perhatian serius.”
Lim turut menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang siasatan forensiknya mengenai pencerobohan data itu.
“BNM mengumumkan telah memulakan siasatan forensik (mengenai insiden kebocoran data) di iPay88. Sehingga kini, hasil siasatan forensik ini masih tidak didedahkan,” katanya.
Pada Ogos, iPay88 mengesahkan bahawa ia mengalami insiden kebocoran data lebih dua bulan lalu, yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.
Syarikat itu berkata, siasatan telah dimulakan pada 31 Mei dan sedang berjalan, manakala pakar keselamatan siber telah dilibatkan untuk membantu. Menurutnya, “tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai”.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil kemudian mempersoalkan mengapa iPay88 hanya mengeluarkan maklumat mengenai kebocoran data lebih dua bulan selepas ia terjadi.