Cita-cita ‘king maker’ PAS seolah hanya mahukan jawatan, kata Anwar

Cita-cita ‘king maker’ PAS seolah hanya mahukan jawatan, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata PAS seharusnya mengemukakan dasar yang jelas mengenai mentadbir negara, sebaliknya memilih menjadi 'king maker' untuk mendapatkan jawatan.

Anwar Ibrahim berkata “king maker” yang diidamkan PAS ialah satu pendekatan yang berbahaya kerana akan memberikan ‘ugutan’ kepada kerajaan akan datang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan hasrat PAS menjadi ‘king maker’ pada PRU15 sebagai “ugutan” untuk terus memperolehi jawatan dan ganjaran lain sebagai syarat memperolehi sokongannya untuk penubuhan kerajaan baharu.

Anwar berkata PAS seharusnya mengemukakan dasar jelas mengenai mentadbir negara, dan menambah pendekatan “king maker” atau penentu kerajaan akan datang yang disuarakan oleh pemimpin parti itu adalah “berbahaya”.

“Itu satu pendekatan yang berbahaya kerana akan memberikan ‘ugutan’. ‘King maker’ maknanya kami (PAS) nak sekian-sekian (jawatan) menteri, sekian-sekian kedudukan, seperti mana yang berlaku sekarang,” katanya kepada pemberita selepas simposium perubahan iklim di Parlimen.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini berkata parti itu yakin menang 40 daripada 80 kerusi yang dipantau, pada PRU15 yang diramal diadakan dalam tempoh terdekat.

Sanusi berkata PAS akan menjadi “king maker” sekiranya sasaran itu dicapai, memandangkan tiada parti dapat membentuk kerajaan tanpa PAS.

Dalam pada itu, Anwar menepis slogan bawaan PAS berdasarkan kepada prestasi pentadbiran kerajaan yang dianggotai parti itu.

“Sama ada (slogan) ‘Islam’ atau ‘king maker’, kita tengok bawah kerajaan sekarang yang disertai PAS, aktiviti perjudian lebih parah sekarang berbanding dulu,” tegasnya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 20 Sept 2021 mengesahkan kerajaan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan, menjadi 22 kali sepanjang tahun itu.

Menurut laporan Malaysiakini, pentadbiran Pakatan Harapan terdahulu menurunkan kekerapan cabutan khas oleh syarikat perjudian kepada 11 kali pada 2019 dan lapan pada 2020.

Keupayaan PAS mencapai kemenangan besar pada PRU15 sering dipertikaikan parti lawan dan kalangan penganalisis kerana parti itu dilihat masih belum berupaya menarik sokongan pengundi bukan Melayu.

Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi baru-baru ini mengundang kritikan meluas dan menyaksikan polis menjalankan siasatan terhadap Hadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.