
Latif pernah bercita-cita melanjutkan pengajian selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada penghujung 1980-an, tetapi kurang berkemampuan.
Seperti kebanyakan remaja lain pada awal usia 20-an, beliau merasakan dirinya tiada hala tuju dan banyak menghabiskan masa mendalami dirinya.
Peluang pekerjaan tidak banyak tersedia, maka anak jati Perak itu mencuba nasib menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), bermula sebagai kakitangan pentadbiran akademi latihan di Kuala Kubu Bharu.
Beliau kemudian meminta kebenaran menyertai latihan selepas tertarik melihat anggota bomba beraksi.
“Saya ingat kerjanya hanya kawal kebakaran. Sebagai orang muda yang tidak terdedah dengan tugas bomba, saya tidak tahu skop tugasnya lebih luas,” katanya kepada FMT.
Beliau meningkatkan kemahirannya dengan menyertai kursus demi kursus sehingga menjadi pakar penyelamat di air. Kepakarannya yang lain termasuk mengawal kebakaran hutan dan mencari pengembara hilang.
Keazaman dan keyakinan diri Latif tidak pernah goyah, walaupun melihat rakan lain yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi dinaikkan pangkat.
Kesabaran dan kesungguhannya berhasil apabila dilantik menjadi ketua dan komander operasi Balai Bomba Sungai Buloh pada Mac tahun lalu.
Apabila ditanya sama ada beliau pernah meragui kebolehannya untuk memimpin, disebabkan tidak berpelajaran tinggi, Latif mengakui beliau bukanlah seorang pemimpin semula jadi, namun pengalamannya bertahun-tahun dalam perkhidmatan memberinya keyakinan beliau mampu memimpin.
“Apabila pegawai kanan dan rakan sekerja memberi sokongan moral, selain menjalani kursus dan latihan sambil bekerja, saya mempunyai keyakinan untuk memimpin pasukan,” katanya.
Mengimbau semula pengalamannya, pegawai berusia 56 tahun itu tidak pernah menyesal tidak melanjutkan pengajian selepas SPM. Ini laluan yang dipilihnya, katanya.
Pesanannya kepada lepasan SPM: “Tiada jalan singkat dalam kehidupan. Kamu harus menunjukkan kemampuan dan membuktikan diri kepada ketua.”
Perjalanan Latif, daripada seorang lepasan SPM yang tiada hala tuju sehingga menjadi ketua Balai Bomba Sungai Buloh, ialah hasil semangat dan kesabarannya, meskipun dengan peluang yang terhad dan didikan sederhana.