Semakin ramai mengadu jadi mangsa pindahan wang tanpa kebenaran, kata Santiago

Semakin ramai mengadu jadi mangsa pindahan wang tanpa kebenaran, kata Santiago

Kes terbaru yang diadu kepada Ahli Parlimen Klang itu melibatkan seorang wanita yang mendakwa kerugian RM39,000.

Seorang wanita mengadu kepada Ahli Parlimen Klang Charles Santiago bahawa 39 transaksi dibuat daripada akaun banknya tanpa pengetahuannya. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Semakin banyak kes penipuan membabitkan pindahan wang tanpa kebenaran dilaporkan kepada Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, dengan kes terbaru melibatkan seorang wanita yang mendakwa kerugian RM39,000.

Kes ini sampai ke pengetahuannya beberapa hari selepas beliau menceritakan di Facebook mengenai seorang wanita lain yang mengadu kehilangan RM9,900.

Santiago berkata, beliau telah menulis kepada bank yang mengendalikan akaun wanita itu di Bukit Tinggi, menyampaikan kebimbangannya yang semakin meningkat tentang kes penipuan sebegitu.

Pihak bank memintanya membangkitkan perkara itu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi bank pusat itu merujuknya kembali kepada bank yang terbabit.

“Saya telah cuba dapatkan sedikit pampasan dan memastikan adanya akauntabiliti, tetapi (usaha) saya nampaknya tidak berhasil,” katanya.

Apabila dihubungi mengenai kes itu, Santiago berkata, beliau baru sahaja menerima aduan baharu daripada seorang wanita yang berkata RM39,000 telah dipindahkan daripada akaun banknya di Klang tanpa kebenarannya.

“Apa yang lebih teruk adalah (pindahan) ini didakwa dilakukan dalam 39 transaksi. Sebahagian daripada wang itu malah milik syarikatnya,” kata Santiago kepada FMT.

“Sebelum ini, penipuan sebegini membabitkan jumlah wang yang banyak, sehingga berjuta-juta. Tetapi nampaknya sekarang, lebih banyak jumlah yang kecil dipindahkan. Dalam jangka panjang, ini mestilah akan terkumpul menjadi jumlah yang banyak.”

Pada Jun, Santiago membangkitkan kes 40 pemegang akaun premium di sebuah bank di Klang yang kerugian jutaan ringgit menerusi penipuan yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai bank.

Santiago berkata, pihak bank, polis dan BNM harus menyediakan maklumat terkini mengenai kes itu kerana sudah enam bulan berlalu sejak aduan dibuat.

Beliau berkata, kes itu melibatkan penyimpan warga emas dan pesara. Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan pihak yang terlibat didakwa di mahkamah dan hak pengguna dilindungi.

Timbalan Ketua Polis Selangor Sasikala Devi Subramaniam berkata, kes itu disiasat oleh penyiasat jenayah komersial di Bukit Aman atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.