Rakyat ‘ketakutan’ tanggung risiko jika pertahan Najib, kata Zaid

Rakyat ‘ketakutan’ tanggung risiko jika pertahan Najib, kata Zaid

Zaid berkata siasatan polis terhadap Ahmad Zahid Hamidi susulan majlis taklimat presiden Umno di Kuala Lumpur adalah contoh risiko ditanggung mereka yang 'bercakap mengenai Najib atau pun Umno.'

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, menyifatkan sikap Majlis Peguam sebagai ‘aneh’ kerana menganggap tindakan peguam mewakili Najib Razak, memohon penangguhan dikatakan semata-mata hanya untuk melambatkan proses mahkamah.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mendakwa rakyat berada dalam persekitaran “ketakutan”, dibayangi risiko tindakan pihak berkuasa jika membuat kenyataan membela Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan kes SRC International.

“Kita berada dalam persekitaran ketakutan kerana ada pemimpin yang berselindung di belakang undang-undang untuk tujuan politik mereka. Setiap ahli Umno mestilah berani dalam keadaan mereka (dikelilingi) oleh musuh,” kata Ahmad Zahid Hamidi tanpa menamakan pemimpin dimaksudkan.

Beliau merujuk siasatan polis terhadap Zahid susulan ucapannya mengenai kes Najib pada majlis taklimat presiden Umno di Kuala Lumpur, minggu lalu, dan siasatan terhadap beberapa pemimpin parti lain mengikut Akta Multimedia sebagai contoh risiko ditanggung mereka jika “bercakap mengenai Najib atau pun Umno.”

“Hari ini ramai yang percaya institusi perundangan dan pendakwaan digunakan untuk menghapuskan musuh politik oleh mereka yang berkuasa. Keadaan ini akan memudaratkan negara ini,“ kata Zaid pada majlis ‘Solidariti Untuk Najib Razak’ di Pekan, Pahang, petang tadi.

“Jika pendakwaan terpilih berterusan (dan) jika keterangan tertentu agensi kerajaan tidak diterima untuk pengadilan tanpa alasan baik, maka ramai pemimpin politik akan menerima beban di masa hadapan. Mereka akan menjadi political prisoner (banduan politik) seperti Najib,” menurut teks ucapan beliau yang diperolehi FMT.

Zahid berkata, wujud keperluan mendesak untuk merombak Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia tidak diperalatkan untuk menjatuhkan musuh politik.

“(Tidak lagi) boleh ada pendakwaan terpilih. Tidak lagi harus ada arahan daripada peguam negara untuk mempercepatkan kes tertentu. Peguam negara berkhidmat hanya untuk rakyat, bukannya perdana menteri,” kata Zaid dalam menegaskan Umno-Barisan Nasional perlu memenangi PRU15 untuk melaksanakan pembaharuan berkenaan.

Zaid kecewa dengan sikap ‘talam dua muka’ pihak tertentu, termasuk parti politik dan pimpinan Majlis Peguam yang mencanang diri sebagai pembela kedaulatan undang-undang, tetapi bertindak sebaliknya dalam kes Najib.

Zaid berkata, sifat ‘pilih bulu’ mereka terserlah apabila mereka membelakangkan atau mengunci mulut mengenai beberapa prinsip asas perundangan semata-mata kerana menganggap bekas perdana menteri sebagai seteru.

“Bukankah aneh apabila peguam yang membela tertuduh (Najib) tidak mendapat pembelaan daripada Majlis Peguam. Malah, Majlis Peguam menganggap tindakan peguam tersebut semata-mata hanya untuk melambatkan proses (mahkamah).

“Parti pembangkang (pula) yang selalu bercakap mengenai penyalahgunaan sistem keadilan jenayah (criminal justice system) hari ini diam terhadap apa yang berlaku kepada Najib semata-mata kerana dia musuh politik mereka.

“Inilah pemimpin yang tidak setia kepada perjuangan dalam mempertahankan prinsip keadilan. Mereka hanya tahu bermain politik,” kata Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu.

Pada majlis itu, Zaid sekali lagi menyingkap apa yang disifatkan beliau, sebagai pelbagai ketidakadilan yang berlaku dalam kes Najib, termasuk penolakan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan firma guaman beliau untuk diberikan lebih masa bagi membuat persediaan membentangkan rayuan terakhir bekas perdana menteri itu.

Susulan keengganan mahkamah membenarkan Najib melantik peguam diraja daripada United Kingdom, firma Zaid dilantik mengendalikan rayuan itu kira-kira tiga minggu sebelum rayuan didengar Mahkamah Persekutuan. Zaid berkata, tempoh itu pasti tidak mencukupi untuk meneliti ribuan dokumen dan keterangan saksi bagi menyediakan rayuan berkesan.

Beliau turut mengupas tindakan hakim perbicaraan Nazlan Ghazali tidak mengisytiharkan pembabitannya dalam urusan SRC ketika menjadi peguam mewakili Maybank dan Mahkamah Persekutuan enggan menerima keterangan berhubung siasatan SPRM terhadap hakim itu.

Zaid berkata, banyak persoalan masih tidak dijawab meskipun perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib dianggap selesai.

Beliau yakin, sebilangan besar rakyat tidak menyedari bahawa sejumlah besar pinjaman Kumpulan Wang Amanah Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC masih dalam simpanan bank di Switzerland dan belum dipulangkan kepada Malaysia.

“Nampaknya pihak tertentu mahu perkara ini didiamkan ketika ini, untuk menguatkan propaganda bahawa Najib mencuri duit SRC,” kata Zaid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.