‘Kami dah jemput, ini buktinya’, Takiyuddin jawab dakwaan Jamil Khir

‘Kami dah jemput, ini buktinya’, Takiyuddin jawab dakwaan Jamil Khir

Setiausaha Agung PAS memberita jemputan secara fizikal dihantar ke pejabat presiden umno dan diterima pegawainya, selain menerusi e-jemputan di emel.

Takiyuddin Hassan menunjukkan bukti jemputan dihantar kepada pemimpin Umno untuk menghadiri Muktamar PAS ke-68.
ALOR SETAR:
Selepas Umno Kedah menafikan menerima sebarang undangan daripada PAS untuk menghadiri Muktamar PAS ke-68, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan tampil menunjukkan bukti jemputan yang diedarkan kepada pemimpin utama parti Barisan Nasional (BN) – Umno, MCA, MCA – bulan lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihaknya menghantar jemputan secara fizikal ke pejabat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang diterima oleh pegawainya, selain jemputan menerusi e-jemputan di emel.

“Saya boleh bagi tahu pegawai yang mengambil jemputan ni, kita boleh bagitau… jadi kita anggap benda itu telah sampai (ke tangan presiden) bila sampai ke ibu pejabat parti itu,” katanya sambil menambah PAS turut menghantar jemputan kepada Presiden MCA, Wee Ka Siong, dan Presiden MIC, S A Vikneswaran.

Takiyuddin menjelaskan, maklum balas mengenai kehadiran perlu dibuat sebelum 20 Ogos namun pimpinan BN tidak memberi sebarang respons.

“Jemputan itu dihantar lebih awal sebab kita ada RSVP kan.. sila beri maklum balas sebelum 20 Ogos, maknanya sebelum 20 Ogos la.

“(Tetapi) Tiada jawapan balas… kita minta supaya dia jawab balik la,” katanya kepada media selepas menghadiri kempen penanaman pokok bersama komuniti Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS terbuka sekiranya pimpinan tertinggi BN tidak hadir ke Muktamar PAS di Kedah.

“Kita tiada masalah kalau tak boleh hadir nak buat macam mana, kita jemput menggambarkan keterbukaan kita ke arah menuju ke arah kestabilan negara dari sudut politik,” katanya.

Semalam, dalam sidang media, Takiyuddin mengesahkan tiada pemimpin Umno hadir pada muktamar parti itu walaupun sudah diundang.

Beliau berkata, undangan itu sudah diedarkan kepada semua peringkat pimpinan parti dari presiden hingga majlis kerja tertinggi termasuk pimpinan Umno di Kedah, namun tidak berbalas.

Bagaimanapun, Umno Kedah menafikan menerima sebarang jemputan daripada PAS untuk menghadiri Muktamar PAS di negeri itu.

Ketuanya, Jamil Khir Baharom, berkata dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mengatakan tiada respon Umno bagi jemputan itu sebagai kenyataan tidak benar dan dikhuatiri mengelirukan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.