
Ketuanya, Jamil Khir Baharom, berkata dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mengatakan tiada respon Umno bagi jemputan itu sebagai kenyataan tidak benar dan dikhuatiri mengelirukan orang ramai.
“Adalah penting bagi pihak Umno negeri Kedah untuk menjelaskan bahawa situasi ini dengan sejelas-jelasnya supaya tiada persepsi buruk yang tidak diingini wujud kelak.
“Umno Kedah juga ingin menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan tidak benar yang dikeluarkan setiausaha agung PAS tersebut,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Takiyuddin mengesahkan tiada pemimpin Umno hadir pada muktamar parti itu walaupun sudah diundang.
Beliau berkata, undangan itu sudah diedarkan kepada semua peringkat pimpinan parti dari presiden hingga majlis kerja tertinggi termasuk pimpinan Umno di Kedah, namun tidak berbalas.
Kelibat pemimpin Umno tidak kelihatan pada perhimpunan terpenting PAS pada kali ini, selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat penampilan pertama ke Muktamar PAS ke-64, di Terengganu pada 2018.