PN beri bayangan guna lambang ‘bulan’ di 3 negeri

PN beri bayangan guna lambang ‘bulan’ di 3 negeri

Lambang mewakili PN akan dimuktamadkan dalam mesyuarat tertinggi gabungan itu yang akan diadakan minggu depan.

ALOR SETAR:
Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan akan membenarkan PAS menggunakan lambang “bulan” di Kelantan, Terengganu, dan Kedah bagi mewakili gabungan itu pada PRU15.

Pengerusi Muhyiddin Yassin berkata lambang mewakili PN akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan itu minggu depan.

“Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai kita akan ambil kira,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Sanusi Md Nor, sebelum ini berkata ramai pengundi dan penyokong PAS ‘alergi’ terhadap warna biru PN, yang disifatkan sebagai “bayang-bayang” kepada warna biru tua BN.

Beliau berkata tindakan memperbetulkan keadaan itu perlu diambil, dengan mempertimbangkan penggunaan lambang PAS yang lebih “serasi” dengan pengundi parti itu, khususnya di Kelantan, Terengganu, dan Kedah yang ditadbirnya.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi antara komponen PN, Muhyiddin berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita sudah mula runding tapi belum selesai. Saya sudah beritahu untuk disegerakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.