Kerjasama dengan PH hanya balas cadangan, kata Muhyiddin

Kerjasama dengan PH hanya balas cadangan, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar cadangannya mungkin ditolak rakan komponen PN serta PH sendiri.

Muhyiddin Yassin berkata PN sedia berhadapan pertarungan tiga penjuru atau lebih, termasuk menentang PH.
ALOR SETAR:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjelaskan cadangan kerjasama dengan Pakatan Harapan yang diajukannya sebelum ini hanyalah membalas saranan mengelakkan perpecahan undi apabila berdepan parti lawan pada PRU15 kelak.

Beliau menegaskan gabungan itu sedia berhadapan pertarungan tiga penjuru atau lebih, termasuk menentang PH.

“Sebelum ini ada pihak-pihak mencadangkan kalau boleh elakkan pertembungan. Suara itu turut disuarakan ketua Pemuda PN, iaitu ketua Pemuda PAS dalam konvensyen PN. Jadi saya respon kalau boleh berlaku.

“Saya faham situasinya agak sukar kerjasama. Apa pun kalau sudah begitu situasinya, kita akan hadapi realitinya kalau ada pertembungan. Kita akan lawan. Kita sedia hadapi tiga penjuru ke, empat penjuru ke, 10 penjuru ke tidak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Muhyiddin menyedari cadangan itu kemungkinan besar akan ditolak rakan komponen PN termasuk PAS, malah dari PH sendiri.

“Kemungkinan besar PRU15 ini akan melihat beberapa penjuru. Kita ada strategi tertentu…untuk menentukan kejayaan,” katanya.

Muhyiddin yakin akan peluang PN berdepan BN dan PH pada PRU kelak.

“Tadi pesan tok guru (Abdul Hadi Awang) tentang pengundi muda, mereka belum lagi keluar mengundi. Jumlah agak ramai hampir 6 juta. Kita lihat ada kecenderungan anak muda menolak kleptokrasi, salah guna kuasa, rasuah, jadi kalau begitu kami percaya PN pilihan terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama pada PRU15 adalah BN.

Langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa, katanya.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak PAS yang membuat keputusan muktamad tiada sebarang kerjasama dengan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.