
Katanya, hakikat yang berlaku sekarang adalah amalan itu dilakukan oleh semua kumpulan kaum dan perbuatan itu dilihat berleluasa.
Beliau berkata, isu rasuah kononnya hanya melibatkan kaum tertentu tidak perlu diperdebatkan atau dibesar-besarkan.
“Isu rasuah agak berlaku berleluasa, orang bukan Islam pun ada melakukan rasuah, yang Islam melakukan rasuah…bukan soal Islam tapi orang tertentu, jadi saya fikir tidak harus kita debatkan, tapi realitinya itulah sedang berlaku (semua bangsa ada rasuah).
“Sebab itu, Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian tegas antara perkara kita pegang kuat ialah menentang salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pelbagai perkara lain…itu pendirian kita putus sejak awal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadapi Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-68, di Kompleks PAS Kedah.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengaitkan punca rasuah disebabkan bukan Islam dan bukan Bumiputera rentetan kenyataan kontroversi Presiden PAS Abdul Hadi Awang, sebelum ini.
Pada 20 Ogos, Hadi dilaporkan berkata, golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera didakwa menjadi kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Susulan itu, Bukit Aman berkata, polis menerima sebanyak 28 laporan terhadap Hadi berhubung kenyataan yang mencetuskan kontroversi itu.
Hari ini, Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau telah selesai memberi keterangan kepada pihak polis dan menegaskan akan menjawab segala persoalan berbangkit berhubung kenyataan kontroversinya yang didakwa berbaur perkauman di mahkamah.