
Komposisi majlis itu dilihat berat sebelah, kata Penasihat CAP Dr T Jeyabalan kepada FMT.
“Kumpulan pesakit dan pengguna, serta organisasi masyarakat sivil dalam pelbagai bidang, harus diwakili,” katanya. “Kami memerlukan perwakilan yang luas daripada pihak berkepentingan dalam majlis itu.”
Jeyabalan mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana cuba memperbaharui sektor kesihatan, dan mengiktiraf doktor, yang mendominasi majlis itu, sebagai berperanan penting dalam pembaharuan penjagaan kesihatan.
Namun, katanya, pakar perubatan bukan satu-satunya pihak yang terlibat.
Majlis itu mengadakan mesyuarat pertamanya pada 30 Ogos, dipengerusikan bersama oleh bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam dan bekas ketua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ketua Khazanah Nasional Shahril Ridza Ridzuan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata ahli majlis itu mewakili mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang kesihatan, ekonomi, akademik dan sosial. Bagaimanapun, beberapa NGO telah menyatakan bahawa semua ahli majlis, kecuali Shahril, adalah doktor perubatan.
Jeyabalan berkata pembaharuan kesihatan holistik memerlukan input bukan saja daripada sektor kesihatan tetapi juga daripada sektor sosial, ekonomi, alam sekitar dan lain-lain.
Beliau berkata majlis itu perlu, sebagai contoh, memasukkan ahli ekonomi kesihatan bebas dan pakar kesihatan alam sekitar kerana “mereka akan mewakili 15 juta pekerja”.
Beliau mengakui KKM mungkin memanggil kumpulan pengguna dan pesakit untuk mesyuarat bagi mendapatkan maklum balas mengenai kertas putih itu, tetapi beliau berkata ini mungkin ad hoc dan tidak mencukupi.
Katanya, sudah terlambat sekiranya majlis itu mendapatkan maklum balas selepas kertas putih itu digubal.
“Penyelesaian sepatutnya datang daripada pendekatan yang mampan dan bukannya ad hoc. Kementerian perlu melibat urus dengan pertubuhan sivik dan memberi mereka kepentingan dalam majlis itu.
“Apa yang kita lihat adalah pendekatan atas-bawah. Kita memerlukan pendekatan bawah-atas juga untuk hasil yang lebih holistik,” katanya.
Pengerusi Rangkaian Pembangunan Lestari Malaysia Muhammad Sha’ani Abdullah berkata dominasi pengamal perubatan dalam majlis itu boleh mengakibatkan berat sebelah dalam penilaian perkhidmatan kesihatan negara.
Beliau memberitahu FMT terdapat keperluan untuk pihak bebas berada dalam majlis itu memandangkan pegawai kerajaan yang semasa dan bekas mungkin tidak cukup berani untuk mendedahkan kegagalan sektor penjagaan kesihatan.
Beliau mendakwa majlis itu tidak mempunyai wakil dari Sabah dan Sarawak.
Majlis itu telah ditugaskan untuk mengemukakan cabaran sektor penjagaan kesihatan dan membuat penambahbaikan yang boleh dijalankan secara berperingkat selama 15 tahun.
Ahli lain terdiri daripada Dr Jemilah Mahmood, bekas penasihat perdana menteri mengenai kesihatan awam; Dr Norma Mansor, pengarah pusat penyelidikan keselamatan sosial Universiti Malaya; Dr Shahnaz Murad, bekas timbalan ketua pengarah kesihatan; Dr Adeeba Kamarulzaman, profesor di unit penyakit berjangkit di Universiti Malaya; Dr Syed Mohamed Aljunid, pengerusi jabatan dasar kesihatan dan pengurusan Universiti Kuwait; Dr Elil Renganathan, profesor kesihatan awam dan dasar di Universiti Sunway; Dr Teo Soo-Hwang, ketua penyelidik saintifik di Cancer Research Malaysia; Dr Koh Kar Chai, presiden Persatuan Perubatan Malaysia; Dr Khor Swee Kheng, penolong profesor di Fakulti Kesihatan Awam Saw Swee Hock di National University Singapore; Dr Chong Mei Chan, profesor madya di fakulti perubatan Universiti Malaya; dan Dr Helmy Haja Mydin, pakar perubatan Hospital Pantai dan Ketua Pegawai Eksekutif Inisiatif Penyelidikan Sosial & Ekonomi.