Hampir RM700,000 ‘melayang’, hiasan pokok bunga rosak, kata Datuk Bandar KL

Hampir RM700,000 ‘melayang’, hiasan pokok bunga rosak, kata Datuk Bandar KL

Hiasan termasuk landskap sempena Hari Kebangsaan rosak susulan kebanjiran pengunjung.

Keadaan sebahagian pokok hiasan yang rosak selepas dipijak pengunjung, pada sambutan Hari Kebangsaan, Rabu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hampir RM700,000 melayang apabila landskap dihiasi pokok bunga hiasan rosak dipercayai dipijak pengunjung, pada sambutan Hari Kebangsaan, pada Rabu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah, berkata kerosakan dialami sekitar Dataran Merdeka dan sepanjang perarakan itu berlangsung berkemungkinan kerana kehadiran pengunjung yang ramai.

Katanya, pada hari tersebut dianggarkan lebih 100,000 pengunjung memeriah sambutan tersebut dan ia merupakan rekod baharu dicatatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kehadiran pengunjung yang begitu ramai semasa sambutan Hari Kebangsaan lepas, beberapa landskap di kawasan sekitar Dataran Merdeka telah rosak. Kerugian dianggarkan lebih RM700,000.

“Saya rasa ini agak luar biasa dan mungkin rekod baharu (jumlah pengunjung) untuk Kuala Lumpur ketika sambutan Hari Kebangsaan,” katanya menurut Kosmo.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci ke atas insiden tersebut dan pada masa sama akan mengeluarkan satu garis panduan supaya perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.