Larang individu berdepan kes mahkamah tanding pilihan raya, kerajaan diberitahu

Larang individu berdepan kes mahkamah tanding pilihan raya, kerajaan diberitahu

Cadangan itu dibuat kerana bimbang mereka yang terpalit kes mahkamah akan menggunakan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pemimpin selepas menang pilihan raya untuk 'mengelak' dikenakan.

Ketua Dewan Ulama PAS berkata pihaknya mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat.
YAN:
Dewan Ulama PAS mencadangkan kerajaan meminda undang-undang bagi melarang individu berdepan perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah daripada bertanding pilihan raya umum (PRU).

Ketuanya Ahmad Yahya membuat cadangan itu kerana bimbang mereka yang terpalit kes mahkamah akan menggunakan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pemimpin selepas menang pilihan raya untuk “mengelak” dikenakan tindakan atas kesalahan itu.

“Mereka yang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan untuk mengelak dikenakan tindakan.

“Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

“Kita perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras prinsip Islam,” katanya ketika ucaptama sempena Muktamar Dewan ulama PAS Pusat kali ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Yahya turut mencadangkan kepada kerajaan, individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara dan mempertikaikan hak keistimewaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu digugurkan kelayakan bertanding pilihan raya.

Katanya, cadangan pindaan itu bagi memperkasa perkara berkaitan soal integriti calon dan parti politik yang bertanding pilihan raya bergerak ke arah kematangan demokrasi.

“Kita mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya.

Cadangan itu menyusul keputusan Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan bagi menyediakan ruang peruntukan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Yahya berkata, ulama juga mencadangkan kerajaan menggubal akta pendanaan politik bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik.

Beliau berkata, syarat mengetatkan kelayakan bertanding pilihan raya sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen juga perlu ditambah baik memandangkan peraturan sedia ada masih longgar.

“Syarat yang menggugurkan kelayakan seseorang menjadi calon adalah kesalahan bagi hukuman satu tahun ke atas serta denda melebihi RM2,000 atau seseorang itu telah mengisytiharkan kesetiaannya kepada negara lain. Perkara ini kelihatan masih longgar tidak sejajar dengan ketegasan yang dipamerkan dalam pindaan Perlembagaan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.