Jumpa di mahkamah, presiden Badan Peguam beritahu Zaid

Jumpa di mahkamah, presiden Badan Peguam beritahu Zaid

Presiden Badan Peguam Karen Cheah memberitahu FMT bahawa pihaknya sudah melantik dua peguam dan telah mengarahkan menerima penyampaian proses.

Presiden Badan Peguam Karen Cheah, berkata pihaknya menafikan segala dakwaan dibangkitkan Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya.
KUALA LUMPUR:
Badan Peguam bersedia berdepan Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya berhubung kenyataan media mengenai tindakan mereka dalam rayuan akhir membabitkan kes SRC International Najib Razak.

Presidennya, Karen Cheah, memberitahu FMT, bahawa beliau sudah melantik dua peguam dan telah mengarahkan mereka menerima penyampaian proses.

“Kami secara tegas menafikan segala dakwaan dibangkitkan oleh mereka dan berpegang kepada kenyataan media dikeluarkan (oleh Badan Peguam).

“Kami bersedia berdepan mereka di mahkamah,” kata Cheah memberitahu FMT selepas majlis Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Badan Peguam.

Beliau menegaskan kenyataan media itu mengandungi perkara kepentingan awam, pentadbiran keadilan dan piawaian profesion undang-undang. Ia juga mencerminkan objektif Badan Peguam.

Pada 29 Ogos, Zaid dan dua rakan kongsinya menuntut Cheah memohon maaf berhubung kenyataan dikeluarkan yang mana mereka mendakwa menjadi “libel yang serius” mengenai kelakuan mereka dalam rayuan kes SRC International Najib, di Mahkamah Persekutuan.

Mereka memberi tempoh sehingga hari ini bagi penarikan semula kenyataan dan permohonan maaf, dan kegagalan berbuat demikian akan menjurus kepada permulaan tindakan undang-undang.

Cheah berkata, beliau melantik peguam – Andrew Chiew dan N Nahendran — untuk menjawab surat tuntutan dari Zaid dan rakan kongsinya, kira-kira 3.30 petang tadi.

Pada 30 Ogos, ketua pasukan pembelaan Najib bagi kes SRC International, Hisyam Teh Poh Teik, turut berkata, Cheah akan “mendengar darinya” mengenai kenyataan media dikeluarkan Badan Peguam itu.

Bagaimanapun, Cheah hari ini, berkata beliau tidak menerima sebarang surat tuntutan dari Hisyam.

Beliau berkata, Badan Peguam akan mengkaji semua rekod kenyataan media dan ucapan dikeluarkan peguam berhubung kes berprofil tinggi untuk melihat sama ada berlakunya sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan menaungi profesion perundangan.

Rekod ini termasuk kenyataan media dikeluarkan selepas prosiding mahkamah dan ucapan oleh Zaid dan rakan peguamnya, Shafee Abdullah, dalam taklimat khas Umno, pada Sabtu.

Selepas mahkamah tertinggi menolak beberapa permohonan untuk lanjutan masa bagi pihak pembelaan membuat persiapan, Najib melepaskan firma guaman Zaid, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, daripada mewakilinya dalam rayuan SRC International, pada 18 Ogos.

Permohonan sama juga dipohon untuk melepaskan Hisyam sebagai ketua pihak pembelaan, namun ditolak Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman membabitkan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkait dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.