Bekas ketua audit negara maklum diarah pinda laporan audit 1MDB, mahkamah diberitahu

Bekas ketua audit negara maklum diarah pinda laporan audit 1MDB, mahkamah diberitahu

Pegawai penyiasat Haniff Lami berkata maklumat itu diperoleh kumpulannya ketika mereka merakam kenyataan Ambrin Buang pada 2018.

Kenyataan bekas ketua audit negara Ambrin Buang kepada SPRM adalah permulaan siasatan terhadap Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy, Mahkamah Tinggi diberitahu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pegawai penyiasat dalam perbicaraan laporan audit 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi, bekas ketua audit negara, Ambrin Buang, memaklumkan pihak berkuasa bahawa beliau menerima arahan meminda laporan berkenaan sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Haniff Lami, berkata ia adalah maklumat diperoleh kumpulannya ketika mereka merakam kenyataan Ambrin, antara November dan Disember 2018.

Dalam pemeriksaan balas oleh N Sivananthan, peguam kepada Arul Kanda Kandasamy, yang dituduh subahat bersama Najib Razak, dalam salah guna kuasa meminda laporan akhir, Haniff mengesahkan bahawa kenyataan Ambrin kepada SPRM merupakan “detik pemula” siasatan pihak berkuasa itu terhadap kedua-dua tertuduh.

Sivananthan: Jika beliau (Ambrin) “tidak diarahkan”, jadi tiada keperluan untuk menyiasat?

Haniff: Ya.

Sivananthan juga merujuk kepada keterangan Ambrin sebelum ini di mahkamah, antara November 2019 dan Ogos 2020, yang menyatakan bahawa pindaan itu diluluskan olehnya.

“Adakah anda sedar bahawa beliau mengatakan menggunakan budi bicara dalam membenarkan pindaan dibuat?” soalnya kepada Haniff.

Pegawai SPRM itu berkata, beliau tidak mengetahui apa yang Ambrin beritahu mahkamah.

Dalam keterangannya, Ambrin berkata, beliau bertemu Najib di Pejabat Perdana Menteri pada 22 Feb 2016 dan memaklumkan kepada bekas perdana menteri itu berkenaan dua penyata kewangan 2014 daripada 1MDB.

Katanya, Najib berjanji kepadanya pihak berkuasa akan menyiasat perkara itu.

Ambrin turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ditekan untuk membuat perubahan dalam laporan audit terbabit.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Ambrin dan pegawainya hadir mesyuarat dipengerusikan Allahyarham ketua setiausaha negara, Ali Hamsa, pada 24 Feb, bersama setiausaha sulit kepada Najib ketika itu, Shukry Salleh, pegawai kanan perbendaharaan, pegawai dari Pejabat Peguam Negara dan Arul Kanda.

Selepas mesyuarat itu, pengaudit bersetuju menggugurkan empat item, termasuk dua set penyata kewangan daripada laporan akhir.

Jabatan Audit Negara membentangkan dapatan 1MDB kepada PAC, pada 4 hingga 7 Mac 2016.

Najib, yang dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman bagi sabitan rasuah SRC International, minggu lalu, hadir di mahkamah hari ini.

Beliau dituduh menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kekebalan daripada tindakan perundangan dan mengarahkan pindaan dalam laporan akhir audit 1MDB, sebelum ia dibentangkan kepada PAC.

Apabila peguam Najib, Shafee Abdullah, bertanya Haniff sama ada beliau tahu mengenai kenyataan Ambrin kepada PAC, pada Disember 2018, saksi itu berkata, prosiding PAC yang dihadiri oleh bekas ketua audit negara itu tidak dimasukkan dalam kertas siasatan.

“Apabila pendakwa raya (Tommy Thomas) membenarkan tuduhan dikenakan terhadap mereka (Najib dan Arul Kanda), beliau tidak mempunyai laporan prosiding PAC di hadapannya, sekali gus gagal menghargai keterangan Ambrin?” soal Shafee.

Haniff berkata, beliau tidak boleh memberi jawapan kepada soalan itu. “Saya hanya melihat laporan prosiding PAC selepas ia dikemukakan dalam mahkamah,” katanya.

Dalam pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, bertanya kepada Haniff sama ada dalam pertemuan pada 24 Feb 2016, merupakan persidangan akhir untuk memuktamadkan laporan audit, namun pegawai SPRM berkata “tidak”.

“Hanya ketua audit dan pengaudit perlu hadir, tiada keperluan pihak lain hadir,” katanya merujuk kepada kehadiran Shukry, pegawai kanan perbendaharaan, dan wakil Pejabat Peguam Negara, pada mesyuarat itu.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan bersambung pada 7 Sept.

Akram berkata, Shukry akan dipanggil semula, pada Rabu depan susulan Sivananthan mempunyai beberapa persoalan untuk diajukan kepada bekas pembantu Najib itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.