
“Sebelum ini ada tahu ke pangkalan data? Kalau tidak tahu, macam mana ada dakwaan?
“Kalau bab dakwaan atau surat layang, usah dengar,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri.
Hamzah sebelum itu diminta mengulas dakwaan pengguna media sosial bahawa sehingga 31 Ogos, nama Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun tiada dalam pangkalan data jabatan itu.
Sementara itu, berkaitan dakwaan wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang mendedahkan terdapat gambar ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang kini dilaporkan berada di Disneyland, Shanghai, Hamzah berkata pihak yang mempunyai maklumat perlu menyalurkan kepada pihak berkuasa negara ini.
“Dia tahu, kenapa tidak maklum kepada kita lokasi apa semua?” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita berhubung keberadaan Jho Low di taman tema itu pada malam Krismas, 2019.
Mengulas laporan Gerakan Tanah Air (GTA) yang mengeluarkan kenyataan terbuka untuk kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN), Hamzah yang juga setiausaha agung gabungan itu berkata pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk gabungan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.
“Tidak mengapalah, alhamdulillah kita terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja,” katanya .
Namun 30 Ogos lalu Mahathir berkata, GTA belum membuat sebarang keputusan muktamad untuk bekerjasama dengan PN meskipun dua pemimpin gabungan itu telah mengadakan pertemuan sebelum ini.
Sebelum ini Pengerusi PN, Muhyiddin berkata pemimpin pembangkang perlu mempertimbangkan cadangannya untuk mengadakan rundingan kerjasama bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Namun, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkan Pakatan Harapan memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan PN.