Rosmah didapati bersalah tuduhan rasuah projek solar

Rosmah didapati bersalah tuduhan rasuah projek solar

Isteri bekas PM itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000.

Pada November 2018, Rosmah Mansor didakwa atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor didapati bersalah atas tuduhan rasuah berkait projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, didakwa pada November 2018 atas tuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia didakwa bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah akan mendengar rayuan oleh peguam Rosmah, Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Terdahulu, hakim Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah Rosmah berkata beliau tidak perlu menarik diri daripada mengendalikan kes itu.

Jagjit kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan merayu terhadap permohonan yang ditolak itu.

Rosmah memohon agar Zaini menarik diri daripada mengetuai kesnya selepas draf penghakiman yang dikatakan diterbitkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin minggu lalu tular.

Beliau mendakwa draf penghakiman itu tidak disediakan oleh Zaini, tetapi oleh “pihak ketiga”.

Rosmah juga mendakwa disebabkan draf penghakiman itu, beliau hilang keyakinan terhadap hakim dalam memutuskan kesnya.

Zaini mendengar kes rasuah Rosmah ketika perbicaraan bermula pada 5 Feb 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.