Rayuan ditolak, hukuman mati terhadap lelaki bunuh sepupu kekal

Rayuan ditolak, hukuman mati terhadap lelaki bunuh sepupu kekal

Panel tiga hakim menolak rayuan Iskandar Zulkarnain Zolkifly atas pensabitan kesalahan dan hukuman mati yang telah dijatuhkan terhadapnya.

Iskandar Zulkarnain Zolkifly dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh sepupunya, Rabiatul Ain Mohamod pada 2017. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap seorang pencuci kereta, kerana membunuh sepupunya lima tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Md Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal, menolak rayuan Iskandar Zulkarnain Zolkifly atas pensabitan kesalahan dan hukuman mati yang telah dijatuhkan terhadapnya.

Iskandar, 31, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Okt 2019, yang menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati lelaki itu bersalah membunuh Rabiatul Ain Mohamod, 27, di sebuah rumah di Jalan Temerloh Makmur 3, Taman Temerloh Makmur, Temerloh, Pahang pada 8.30 malam, 21 Okt, 2017.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 29 Sept tahun lalu, menolak rayuan lelaki tersebut.

Berdasarkan keterangan, Zulkarnain yang tinggal bersama mangsa dan suaminya, telah menikam wanita itu berulang kali.

Dalam rayuannya, beliau mendakwa, mangsa membangkitkan kemarahannya kerana mengadu dan menghina kerana tidak pergi bekerja.

Peguam K Viknesvaran mewakili Zulkarnain, manakala Samihah Rhazali bagi pihak pendakwaan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang bekas penjual kad prabayar Ng Kah Fai terlepas daripada hukuman mati apabila berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan ke atasnya kerana membunuh seorang pelanggan yang berhutang RM100,000.

Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu, bagaimanapun meminda pertuduhan membunuh terhadap Ng, 47, itu kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi hukuman penjara 20 tahun, bermula tarikh beliau ditangkap iaitu 20 Okt 2015.

Ng dituduh menikam Cheng Kok Seong, 41, seorang peniaga menggunakan sebilah pisau dalam sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di Jalan SS 15/2A, Subang Jaya, Selangor antara 10 malam ke 11.30 malam, pada tahun 2015.

Dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi, Ng tidak menafikan telah menikam mangsa, namun beliau menyatakan perbuatan tersebut bagi mempertahankan dirinya.

Ng telah disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Julai, 2018.

Rayuan Ng di Mahkamah Rayuan pada 29 Jun 2020, telah ditolak.

Ng diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, Salehuddin Saidin dan Hafizuddin Salehuddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.