‘Perjanjian’ Ismail-Muhyiddin terhad kepada pembentukan Kabinet, kata Annuar

‘Perjanjian’ Ismail-Muhyiddin terhad kepada pembentukan Kabinet, kata Annuar

Annuar Musa berkata, dakwaan perjanjian itu sekadar persefahaman antara perdana menteri yang bakal berundur dan penggantinya.

Annuar Musa berkata, dakwaan perjanjian antara Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin sekadar persefahaman yang terhad kepada pembentukan Kabinet dan hal berkaitan pilihan raya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, perjanjian yang dikatakan dibuat antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob serta Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin terhad kepada pembentukan kerajaan penggantinya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ia sekadar “persefahaman, bukannya perjanjian” antara perdana menteri yang bakal berundur dan penggantinya.

“Saya dapati apa yg dilakukan oleh perdana menteri kesembilan dan perdana menteri kelapan adalah perkara normal. Macam ‘handing-over notes’.

“Saya tengok spekulasi sampai soal pelantikan AG (peguam negara). Saya sahkan tak betul dan tak tepat.

“Ia hanya terhad kepada perkara utama, terutama pembentukan Kabinet dan hal-hal pilihan raya,” katanya dalam sidang media.

Dakwaan perjanjian antara Ismail dan Muhyiddin yang mengandungi 10 perkara itu dibocorkan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamaruddin. Tetapi, perkara 7, 8 dan 9 telah disunting.

Menurut dokumen dibocorkan itu, Ismail didakwa bersetuju menyegerakan kes bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah jenayah.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam kemudian mendedahkan maklumat yang didakwanya kandungan perkara yang disunting daripada surat itu, menerusi sebuah video di Facebook.

Lokman mendakwa Ismail dalam surat itu bersetuju mengekalkan Idrus Harun sebagai peguam negara. Idrus dilantik sebagai peguam negara apabila Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan.

Katanya, Ismail juga didakwa berjanji akan mengekalkan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Bersatu serta PAS.

Perjanjian itu dikatakan ditandatangani sebelum Ismail dilantik menjadi perdana menteri pada Ogos 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.