
Hamzah berkata, bilangan pemohon akan dihadkan kepada 1% daripada penduduk Malaysia dan ia juga termasuk kombinasi peserta bawah program Malaysia My Second Home (MM2H).
Peserta juga tidak layak menukar status warganegara mereka.
Menurutnya, program itu berkonsepkan “residensi melalui pelaburan” atau dikenali sebagai Golden Visa seperti diperkenalkan beberapa negara lain di dunia antaranya Thailand, Singapura dan Portugal.
“Bagi memastikan kejayaan program baharu ini, kerajaan telah menetapkan syarat penyertaan yang kompetitif dan mampu dipenuhi oleh golongan sasaran.
“KDN menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 peserta dalam tahun pertama program ini diperkenalkan dengan anggaran hasil kepada negara,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri.
Permohonan PVIP dibuka pada 1 Okt kepada semua peringkat umur dengan syarat pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM40,000 atau RM480,000 setahun.
Permohonan juga perlu mempunyai pemilikan akaun simpanan tetap sekurang- kurangnya RM1 juta dan pengeluaran 50% hanya dibenarkan selepas setahun bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan.
Pemohon yang berjaya dibenarkan membawa pasangan, anak, ibu bapa, mentua dan pembantu rumah sebagai tanggungan tertakluk kepada undang-undang imigresen sedia ada.
Hamzah berkata, pemohon perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM200,000 sekali sahaja serta yuran RM100,000 sekali sahaja akan dikenakan untuk setiap tanggungan.
Anak peserta yang berumur 21 tahun ke atas tidak dianggap sebagai tanggungan dan mesti memohon untuk menjadi peserta PVIP untuk kekal di negara ini.
Beliau berkata, pemohon dan tanggungan juga perlu mengemukakan Sijil Kelakuan Baik daripada pihak berkuasa negara yang mereka tinggal sekarang.
PVIP terpakai selama 20 tahun, dengan pembaharuan diberikan setiap lima tahun sekali, proses ini termasuk memiliki pasport yang sah, mengemas kini keberadaan mereka dan melepasi tapisan keselamatan polis dan pemeriksaan kesihatan di Malaysia.
Peserta juga perlu memiliki perlindungan insurans kesihatan yang sah serta memaklumkan jika berlaku pertukaran kewarganegaraan.