‘Bayar gaji’, TMJ tegur Sarawak United berkait tunggakan gaji pemain

‘Bayar gaji’, TMJ tegur Sarawak United berkait tunggakan gaji pemain

Teguran Tunku Ismail Sultan Ibrahim dibuat menerusi Instagram kelab tersebut selepas pemain kelab tidak dibayar gaji sejak empat bulan lalu.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim beri teguran terhadap Sarawak United FC berhubung tunggakan gaji pemainnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
“Bayar gaji”. Itu komen ringkas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Sarawak United FC susulan kelab itu berhadapan tunggakan gaji pemainnya sejak empat bulan lalu.

Komen daripada Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu dibuat menerusi Instagram “officialsarawakutdfc” sebagai peringatan kepada kelab itu supaya segera melunaskan tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Liga Super ketika ini.

Bagaimanapun, teguran TMJ kemudian dibalas officialsarawakutdfc : “Memang tengah diusahakan Tuanku.”

Isu tunggakan gaji sejak empat bulan lalu menyebabkan ada pemain Sarawak United FC dihalau dari tempat tinggal.

PFAM dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya mengakui insiden itu dan telah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United.

Walaupun ada pergerakan pembayaran dilakukan namun ia tidak dibayar secara penuh seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.

Disebabkan masalah itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kemudian mengambil langkah proaktif apabila menyalurkan sejumlah RM100,000 kepada kelab di Borneo itu dalam usaha meringankan beban pemain.

Dana RM100,000 itu merupakan pemotongan daripada dana hak penyiaran Sarawak United FC, yang disalurkan kepada PFAM sebelum diagihkan kepada yang terjejas.

Sarawak United FC juga diberikan tempoh 14 hari bermula 26 Ogos lalu untuk menyelesaikan tunggakan itu bagi mengelak disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.