PRU15: Umno ada pelbagai skandal, tak mampu dapat majoriti mudah, kata Ku Li

PRU15: Umno ada pelbagai skandal, tak mampu dapat majoriti mudah, kata Ku Li

Veteran Umno itu berkata bukan sahaja Umno, malah parti lain juga tidak mampu mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Tengku Razaleigh Hamzah, berkata PRU15 bukan menyelesaikan masalah, bahkan akan menimbulkan lebih banyak masalah.
PETALING JAYA:
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata partinya tidak mampu meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas berdepan berbagai skandal, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, semua parti termasuk Barisan Nasional (BN) akan berdepan kesukaran susulan banyak faktor, termasuk ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

“Saya rasa pilihan raya ini satu pilihan raya yang paling sukar. Dan saya tak fikir tak ada satu parti pun yang mendapat ‘simple majority’ (majoriti mudah), tak boleh membentuk kerajaan.

“Saya rasa Umno pun berada dalam keadaan begitu apatah lagi dengan berbagai-bagai skandal, berbagai-bagai masalah yang dihadapinya,” lapor Astro Awani.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, berkata PRU15 disifatkan tidak mampu menyelesaikan masalah, malah akan menimbulkan banyak lagi masalah.

“Kita hadapi masalah bukan sahaja pandemik belum selesai, pandemik Covid-19, tetapi juga masalah kos hidup rakyat kerana inflasi yang menekan kita. Dan produktiviti kita sudah jatuh, nilai ringgit kita seolah-olah mengalami ‘free fall’ (jatuh menjunam). Jatuh dengan tidak ada halangan apa-apa,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, berkata PRU15 akan diadakan tahun ini memandangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi komitmen tidak akan melaksanakannya tahun depan.

Mohamad berkata, cuma perdana menteri tidak boleh memaklumkan bila tarikh pilihan raya akan diadakan.

Memetik Utusan Malaysia, beliau berpandangan PRU15 akan dilaksanakan sebelum Disember mengambil kira kemungkinan bencana banjir di penghujung tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.