Lawatan PM ke Baling: Umno biadap bawa Ismail ‘pi stor’, dakwa pembantu MB Kedah

Lawatan PM ke Baling: Umno biadap bawa Ismail ‘pi stor’, dakwa pembantu MB Kedah

Umno Baling dikatakan tidak menghormati permintaan pegawai daerah Baling yang mewakili kerajaan negeri supaya majlis rasmi perdana menteri dibuat di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, pada 1 Sept.

Paparan kad jemputan yang dikatakan ‘biadap’ dan ‘memalukan’ kerana Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dibawa ke stor, dalam kunjungan rasminya ke Baling, pada 1 Sept. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Umno Baling yang tidak menghormati status Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, dalam kunjungannya di kawasan itu, pada 1 Sept.

Beliau mendakwa, Umno ‘masih membawa perangai lama’ dengan memberikan tekanan agar program rasmi melibatkan Ismail dibuat di premis Umno Baling walaupun perancangan asal program itu dibuat di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, seperti diminta pegawai daerah mewakili kerajaan negeri.

“Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling yang dipaparkan di dalam kad jemputan ini adalah premis parti, premis BN. Bukan premis kerajaan.

“Orang nombor satu negara mai, hangpa bawak pi ‘stor’ sahaja. Amat biadab dan memalukan,” katanya dalam kenyataan disiarkan Harakahdaily.

Afnan yang juga timbalan ketua Pemuda PAS, berkata dalam lawatan Ismail ke Baling, beliau dijadualkan melawat beberapa lokasi termasuk kawasan bekas tragedi banjir di Kampung Iboi, bagi menyerahkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Tambahnya, mangsa banjir yang dijemput itu terdiri daripada pelbagai golongan termasuk bukan penyokong mana-mana parti politik, tetapi dipaksa hadir ke premis Umno-BN yang dianggapnya membawa “selera politik” rakus serta kuno.

“Walaupun Tuan DO (pegawai daerah) Baling menegur dan berunding supaya program ini dilaksanakan di premis kerajaan, namun BN tetap berkeras mahu program ini dilaksanakan di premis miliknya, premis BN. Teguran dan rundingan Tuan DO Baling tidak diendahkan mereka.

“Tuan DO Baling adalah wakil rasmi kerajaan negeri Kedah. Suaranya di dalam program itu adalah suara rasmi kerajaan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.