
Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy merujuk secara khusus kepada dakwaan kehilangan paksa Amri Che Mat, Raymond Koh, Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu.
Memetik laporan berita, beliau berkata, pasukan petugas itu menyerahkan laporannya kepada kerajaan pada akhir Februari 2019. Laporan itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) “demi kepentingan keselamatan negara”, tambahnya.
“Ini mungkin kerana ia mengandungi bukti tidak menyenangkan dari aspek kepolisan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sevan berkata, pembabitan masyarakat sivil menyebabkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memulakan siasatan dan kerajaan menubuhkan pasukan petugas itu.
“Tetapi, timbul kemarahan kerana laporan (pasukan petugas khas) tidak membawa kepada pembaharuan serta pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Suhakam mengumumkan penemuannya dalam kes Joshua dan Ruth empat bulan lepas, tetapi polis atau kerajaan tidak menyatakan tindakan yang akan diambil.
Joshua, seorang pastor Kristian berbangsa Melayu, dan isterinya, Ruth kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016 di rumah mereka di Petaling Jaya.
“Kami menggesa kerajaan mendedahkan penemuan daripada laporan pasukan petugas,” kata Sevan.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu membangunkan dan mengumumkan pelan tindakan, dengan tarikh ditetapkan, untuk memaklumkan orang ramai berhubung kemajuan dalam melaksanakan saranan Suhakam serta pasukan petugas itu.
Pelan itu, katanya, perlu termasuk penubuhan langkah institusi dan operasi standard untuk menyiasat kes orang hilang, penculikan dan kehilangan; pelaksanaan semakan dan tindakan bagi memastikan semua pihak berkuasa menghormati hak kebebasan beragama bawah Perkara 11(1) Perlembagaan; serta mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED).
“Konsep Keluarga Malaysia yang dipromosikan perdana menteri adalah palsu selagi pelaku jenayah berat ini tidak dipertanggungjawabkan.”