
Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full membidas kenyataan seorang pemimpin PAS yang memberi amaran parti itu akan turun ke jalanan memprotes, sekiranya konsert antarabangsa yang dijadualkan dalam negara tidak dibatalkan.
“Pembatalan konsert bukan satu cara terbaik untuk menangani budaya hedonisme kerana rakyat masih dapat mengakses kesemua kandungan berkenaan melalui internet yang mustahil dikawal,” katanya kepada FMT.
Chong turut berkata, kaedah lebih sesuai adalah melalui dasar kerajaan proaktif serta pendidikan moral dan ajaran agama.
“Kami pun tahu, semua agama menentang budaya hedonisme.
“Malaysia merupakan negara berbilang bangsa, agama dan budaya. Kami meraikan dan turut bangga dengan kepelbagaian ini. PAS sebagai parti lama dan pernah bekerjasama dengan banyak parti, sudah tentu tahu apa paling sesuai buat masyarakat majmuk Malaysia,” tambahnya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menggesa kerajaan membatalkan konsert sedemikian kerana disifatkan menggalakkan budaya hedonisme menular, dan dilihat tidak sesuai serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.
“Pihak kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara, jika ia tidak diendahkan,” katanya di Facebook.
Fadhli membuat gesaan sama pada Jumaat lalu, apabila beliau menegaskan penganjuran bertalu-talu konsert mega adalah “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.
Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil malam sebelumnya.
Kemudian, Fadhli dilaporkan berkata, konsert membabitkan artis antarabangsa masih boleh diadakan di tiga negeri ditadbir parti itu asalkan penghiburnya tidak membudayakan gaya hidup songsang.