Muhyiddin ‘terima’ pandangan Rafizi, kekal pelawa PH, PN berunding demi negara

Muhyiddin ‘terima’ pandangan Rafizi, kekal pelawa PH, PN berunding demi negara

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berpendirian negara lebih diutamakan berbanding parti.

Muhyiddin Yassin, berkata beliau menyerahkan kerjasama kepada pimpinan politik sama ada memikirkan soal parti atau kepentingan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, menolak sebarang bentuk kerjasama dengan gabungan itu sebagai “sekadar pandangan peribadi”.

Beliau yang juga presiden Bersatu, berkata gesaan supaya semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang membuka semula pintu rundingan berdasarkan kepada kebimbangan disuarakan rakyat ketika ini, jauh sekali demi kepentingan politik gabungan itu.

Katanya, PN berpandangan semua pimpinan parti pembangkang berunding demi memastikan masa depan negara yang lebih selamat bertujuan mengelak negara terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Yang saya baca itu yang tolak (idea kerjasama bersama PN) itu Rafizi. Tak apalah kita terima pandangannya itu.

“Saya serah kepada kepimpinan politik mengenai perkara itu. Adakah anda memikirkan soal parti anda atau adakah anda memikirkan mengenai kepentingan negara?” katanya menurut Berita Harian.

Bekas perdana menteri itu, berkata beliau berpendirian negara lebih diutamakan berbanding parti.

“Di sini menuntut suatu keberanian untuk menyelamatkan keadaan, kerana saya tahu di luar sana ramai rakyat mahu kalau boleh ada usaha juga untuk menyatukan bukan pihak pembangkang, tetapi parti-parti supaya kita boleh tawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat bila sampai pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan cadangan disuarakan PN itu juga bukanlah untuk memastikan parti pimpinannya menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15)

Sebaliknya, katanya, ia bertujuan mengelak salah guna kuasa, sikap tidak menghormati sistem kehakiman negara dan mencabar kedudukan peguam negara.

Bagaimanapun, pihaknya sedia menghadapi apa jua situasi dalam PRU15, sama ada membabitkan saingan tiga atau empat penjuru.

Malah, katanya beliau juga bersikap terbuka terhadap sebarang kemungkinan sama ada akan ada perbincangan lagi dengan PH atau sebaliknya.

Semalam, Rafizi berkata, Pakatan Harapan (PH) menegaskan, keputusan mereka untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 adalah muktamad.

Katanya, ia sudah pun diputuskan menerusi mesyuarat PH, pada Rabu lalu.

“Mesyuarat PH pada Rabu lepas, dah buat keputusan noktah, maksudnya kita akan terus berkempen dan masuk pilihan raya sebagai PH,” katanya memetik Sinar Harian.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu, berkata jika alasan untuk mengadakan kerjasama dengan PN adalah untuk menumbangkan BN, ia tidak akan menjadikan kerajaan baharu yang stabil.

“Kami dah kena dulu malah rakyat juga sudah tahu bahawa kalau niat itu tidak betul maksudnya hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN tetapi dasar, jiwa itu tidak kena dan serasi dengan masing-masing, kerajaan itu tidak akan stabil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.