
Pengarah Mobilisasi Amanah Mohd Sany Hamzan, berkata semasa berucap, Zahid dikatakan secara jelas mencaci Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong, menerusi klip video dan teks ucapannya yang tersebar di media sosial.
“Dalam ucapan itu, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.
“Susulan itu, kami membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan termasuk terhadap beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan berkenaan serta pihak menganjurkan majlis berkenaan,” lapor Harian Metro.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada 11 pagi tadi.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Strategi PKR Akmal Nasir, turut membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abd Latiff Ahmad, berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).
Akmal berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.
“Pendedahan sudah dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman menamakan Latiff yang disyaki terbabit dalam skandal LCS.
“Namun, penafian menteri berkenaan sehingga lah saat ini hanya melalui kenyataan di Facebook tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya menerima laporan polis bagi kedua-dua isu berkenaan.
“Bagi laporan dibuat Amanah, kes dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Satu lagi laporan diterima berkaitan Laporan Audit LCS pula dirujuk ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut,” katanya.