Reka bentuk jajaran hubung Bukit Kayu Hitam-Sadao siap November, kata menteri

Reka bentuk jajaran hubung Bukit Kayu Hitam-Sadao siap November, kata menteri

Pembangunan di sempadan Malaysia-Thailand mampu merancakkan perdagangan memandangkan hampir 50% dagangan dua hala tertumpu di kawasan sempadan.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata JKR sedang melaksanakan kerja awalan di tapak merangkumi kerja ukur, penyiasatan tapak dan kajian trafik. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Reka bentuk awal jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand, dijangka siap pada November.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof, berkata Malaysia melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan kerja-kerja awalan di tapak yang merangkumi kerja ukur, kerja penyiasatan tapak dan kajian trafik.

“Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Malaysia-Thailand yang seterusnya dijangka diadakan pada Disember bagi pengesahan reka bentuk pada titik sempadan kedua-dua buah negara,” katanya kepada Bernama.

Usaha mempercepatkan rundingan jajaran jalan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dipersetujui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya di Thailand, Prayuth Chan o-cha, pada Februari lalu.

Pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand dilihat dapat merancakkan perdagangan memandangkan hampir 50% perdagangan dua hala Malaysia-Thailand tertumpu di kawasan sempadan.

Malaysia dan Thailand menyasar perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion (RM132 billion) menjelang 2025.

Bagi Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok yang diluluskan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Fadillah berkata, pengurusan nilai (VA) bagi projek itu telah dilaksanakan dari 18 hingga 22 Jul, di Kota Bharu, Kelantan.

“Mesyuarat Teknikal Bersama Malaysia-Thailand bagi projek ini telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 13 Disember tahun lepas dan 26 Mei tahun ini secara atas talian untuk berbincang mengenai reka bentuk jambatan yang disediakan oleh Malaysia.

“Setelah dua kali bermesyuarat, pihak Thailand memaklumkan mereka bersetuju dengan rekabentuk konsep jambatan yang disediakan oleh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, cadangan pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor–Tak Bai akan dikemukakan kepada Kabinet bagi mendapatkan hala tuju memandangkan pihak Thailand telah mengemukakan reka bentuk bagi projek itu kepada Malaysia, pada 2016.

“Projek ini memerlukan perbincangan lanjut dengan agensi pusat, kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.