Kenyataan Azalina berkait peguam negara bukti Umno kawal penjawat awam, dakwa Radzi

Kenyataan Azalina berkait peguam negara bukti Umno kawal penjawat awam, dakwa Radzi

Semalam Azalina Othman Said berkata sesiapa menjadi perdana menteri akan melantik 'orang dia' jadi peguam negara.

Radzi Jidin berkata kenyataan penasihat khas kepada perdana menteri Azalina Othman Said berkait peguam negara menunjukkan Umno dan Barisan Nasional suka mengawal penjawat awam.
PETALING JAYA:
Kenyataan “orang dia” merujuk kepada pelantikan peguam negara oleh perdana menteri membuktikan era Umno dan Barisan Nasional (BN) sering mengawal penjawat awam mengikut kehendak parti itu, kata Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin.

Semalam, penasihat khas kepada perdana menteri, Azalina Othman Said berkata: “Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara.”

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika memberikan ucapan pada taklimat khas presiden Umno di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Radzi yang juga menteri kanan pendidikan ketika mengulas lanjut, berkata kenyataan Azalina itu menunjukkan sikap Umno sebenar.

“Sewaktu PN (Perikatan Nasional) perintah dua tahun, tanyalah pegawai awam, kakitangan awam, pegawai tinggi kerajaan, boleh tanya mereka kerajaan mana yang paling harmoni sekali dengan kakitangan awam, hormati tugas kakitangan awam, bidang kuasa kakitangan awam.

“Kerana kita ingin lihat kakitangan awam boleh bergerak seiring dengan kerajaan dengan suasana begitu harmoni. Tidak ada kakitangan awam yang tak dibawa ke mahkamah seperti yang terjadi sekarang,” katanya menurut Astro Awani.

Katanya, terdapat perbezaan ketara antara konvensyen PN dan taklimat Umno di WTCKL dengan parti itu dilihat tidak berpuas hati dengan institusi kehakiman yang mengekalkan sabitan 12 tahun penjara dan denda RM210 juta terhadap bekas presiden mereka, Najib Razak.

“Apa yang ditekankan, perbezaan konvensyen PN dengan taklimat Umno, jauh berbeza. Kami bercakap tentang integriti, kesejahteraan rakyat, bagaimana kita nak bantu bina Malaysia yang jauh lebih baik,” katanya.

Katanya, sebaliknya, taklimat Umno banyak berkisar mengenai persoalan tidak menukar peguam negara dan merendahkan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Itu membezakan keutamaan dalam konteks antara PN dan BN. Sebab itu, Muhyiddin (Yassin) cakap semalam, beza PN dan BN macam langit dengan bumi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.