Harga siling ayam kekal RM9.40

Harga siling ayam kekal RM9.40

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata harga ayam tidak akan diapungkan ketika ini.

Alexander Nanta Linggi berkata Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju harga siling ayam diteruskan.
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju penetapan harga siling bagi ayam standard di pasaran diteruskan pada RM9.40 sekilogram, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, persetujuan dicapai secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri dua hari lalu turut menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran ekoran kegusaran ditimbulkan segelintir pihak.

“Perincian lanjut berhubung keputusan meneruskan penetapan harga siling bagi ayam standard di seluruh negara akan diumumkan secara lebih lanjut dalam pasca mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi esok,” katanya dalam ciapan di Twitter rasmi.

Pada 30 Jul, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Mohd Yusof, dilaporkan berkata mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di Semenanjung mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.

Ini kerana harga pasaran ayam bulat sekarang berada di bawah siling, malah terdapat penjual menawarkan harga serendah RM6.99 sekilogram.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dalam kenyataan, berkata kerajaan akan mengkaji semula penetapan harga siling ayam standard serta kebenaran mengeksport selepas 31 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.