Disangka babi hutan, pesara maut dipercayai ditembak rakan

Disangka babi hutan, pesara maut dipercayai ditembak rakan

Rakannya melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa kerana disangka seekor babi hutan yang cuba melepaskan diri.

Pesara tentera, Gadin Gambong, 64, maut dipercayai ditembak oleh rakannya sendiri dalam kejadian di perkuburan lama Kampung Giam, Kuching, Sarawak. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Akibat disangka babi hutan, seorang pesara tentera maut dipercayai ditembak rakan sendiri ketika memburu haiwan itu di kawasan perkuburan lama Kampung Giam, Kuching, Sarawak.

Mangsa, Gadin Gambong, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian, dalam tragedi yang berlaku semalam.

Ketua Polis Padawan, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata mangsa bersama adiknya serta dua rakan keluar berburu pada 8 pagi di hutan itu dengan membawa anjing.

Katanya, pada 11.30 pagi, mereka mengesan babi hutan pada jarak 1km dan mengejarnya dengan bantuan anjing itu.

“Dua pemburu membawa anjing bagi mengepung binatang tersebut, manakala mangsa dan seorang lagi rakan menunggu di tempat jangkaan binatang buruan akan keluar.

“Pada 11.45 pagi, suspek berusia 70 tahun ternampak pergerakan seperti binatang dan dalam jarak 20m, suspek telah melepaskan tembakan. Menyangka binatang tersebut seperti mahu melarikan diri, suspek sekali lagi melepaskan tembakan kedua,” katanya menurut Harian Metro.

Abang Zainal berkata, apabila suspek menghampiri dia mendapati bahawa telah tertembak rakannya dan menjerit bagi memanggil rakan lain untuk memaklumkan kejadian.

“Seorang rakan berlari keluar dari hutan itu dan menghubungi anak mangsa untuk memaklumkan perkara itu kepada polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai lesen sah membeli dan memiliki senjata itu, namun ia telah tamat tempoh sejak 30 Jun 2012.

Katanya, suspek dan dua rakan ditahan untuk siasatan lanjut dan tiga laras senapang patah, dua kelongsong peluru telah digunakan tertera GB Buckshot dan sebutir peluru jenama Sellier dan Bellot 12 dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.