
Pada aksi final berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Aaron-Wooi Yik menampilkan permainan hebat untuk menoktahkan kemenangan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit ke atas bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Kejayaan ke atas pasangan yang diberi julukan ‘The Daddies’ itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar sejarah menjadi pemain badminton Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia, yang dilakukan pada penampilan keempat mereka di kejohanan berkenaan.
Dengan kejayaan melangkah ke final semalam, pasangan ranking keenam dunia itu turut muncul beregu Malaysia pertama dalam tempoh 12 tahun mara ke final Kejohanan Badminton Dunia selepas kali terakhir dilakukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2010 di Paris.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam kempen kejohanan dunia adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki utama negara itu kerana berjaya melakar sejarah baharu sukan negara.
Ismail berkata, kejayaan itu merupakan hadiah cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022, tidak lama lagi.
“Satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara.Tahniah Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kerana muncul sebagai pemain badminton negara yang pertama memenangi Kejohanan Badminton Dunia,” kata perdana menteri menerusi catatan di laman sosial Facebook rasminya.