1 juta rakyat Malaysia dijangka ke Thailand menjelang akhir tahun

1 juta rakyat Malaysia dijangka ke Thailand menjelang akhir tahun

Menurut Duta Besar Thailand ke Malaysia, Chainarong Keratiyutwong, ia sekaligus membantu memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan selepas dilanda pandemik Covid-19.

Md Anizam Ab Rahman (dua, kanan) bersama Chainarong Keratiyutwong (kanan) ketika melawat gerai makanan sempena Thai Festival 2022 di Kota Bharu, Kelantan semalam. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Thailand menjangkakan pelancong Malaysia yang datang akan mencecah sejuta orang menjelang akhir tahun ini, susulan pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara sejak April lepas.

Duta Besar Thailand ke Malaysia Chainarong Keratiyutwong berkata, sejak pintu sempadan dibuka semula, kira-kira 600,000 pelancong Malaysia berkunjung ke negara itu, khususnya ke Hat Yai dan beberapa wilayah lain.

“Kami jangka pengunjung akan meningkat sehingga sejuta orang menjelang akhir tahun ini sekaligus membantu memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan selepas kebanyakan negara dilanda wabak Covid-19.

“Sektor ekonomi dan pelancongan di Thailand juga semakin pulih dengan kemasukan pelancong Malaysia sekali gus dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara ini,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas merasmikan Festival Makanan dan Produk Halal Thailand (Thai Festival 2022) di Konsulat Jeneral Diraja Thai (RTCG), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Patimoh Sadiyamu dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman.

Mengulas mengenai festival itu, Chainarong berkata, program dua hari bermula semalam itu menjadi mekanisme penting dalam mengerakkan dan membina hubungan rapat antara Thailand dan Malaysia.

“Festival seperti ini ialah peluang yang baik bagi kami (kerajaan Thailand) untuk menonjolkan makanan dan produk kami. Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan lebih banyak festival seperti ini di Malaysia.

“Kami turut mengalu-alukan kerajaan Malaysia untuk mengadakan festival sebegini di Thailand bagi mempromosikan produk dan makanan negara ini, yang saya percaya akan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.