Tindakan terhadap Crackhouse Comedy Club, pemilik ikut undang-undang, kata DBKL

Tindakan terhadap Crackhouse Comedy Club, pemilik ikut undang-undang, kata DBKL

Menurut DBKL, tindakan itu selaras dengan peruntukan undang-undang berdasarkan kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Peguam mewakili Crackhouse Comedy Club menyifatkan keputusan DBKL membatalkan lesen dan menyenarai hitam pemiliknya sebagai ‘tidak munasabah’ dan ‘tidak rasional’.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertahankan keputusannya membatalkan lesen operasi Crackhouse Comedy Club dan menyenaraihitamkan pemiliknya secara kekal daripada mendaftar perniagaan lain.

Ini selepas peguam yang bertindak bagi pihak pemilik bersama kelab komedi itu berkata, mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah melainkan dia menarik balik keputusan yang diambil terhadap kelab dan pemiliknya.

Firma itu menyifatkan keputusan DBKL sebagai “tidak munasabah” dan “tidak rasional”.

Dalam satu surat kepada Karpal Singh & Company yang dilihat FMT, pihak berkuasa tempatan itu mempertahankan tindakan yang diambil terhadap kelab komedi dan pemiliknya.

“Pembatalan lesen premis dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang berdasarkan kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.”

Surat itu ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan DBKL, Nasrul Zaki Mohd Yunus.

Penyenaraian hitam itu berikutan penggantungan lesen kelab komedi terbabit oleh DBKL awal bulan lalu berhubung klip video yang tular menunjukkan seorang wanita Melayu menanggalkan baju kurungnya hingga mendedahkan aurat ketika membuat persembahan di kelab berkenaan.

Wanita itu dan teman lelakinya kemudiannya ditangkap dan didakwa.

Pemilik kelab itu, Rizal van Geyzel, turut ditahan apabila beberapa video lama persembahan komedi kontroversi muncul semula.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.