Tangan hancur digilis, ‘rider’ ini tak pernah rasa diri ‘kurang’, tetap ‘enjoy’ cari rezeki

Tangan hancur digilis, ‘rider’ ini tak pernah rasa diri ‘kurang’, tetap ‘enjoy’ cari rezeki

Radha tidak pernah menganggap dirinya sebagai kelainan upaya, sebaliknya mampu untuk menyara kehidupannya dengan kudrat yang ada.

Kisah Radha Krishnan mula menjadi perhatian selepas kesungguhannya menghantar makanan walaupun berjalan kaki tular di media sosial.
PETALING JAYA:
“Eh abang itu tiada tangan” itulah ungkapan yang menyentap jiwa sering kali diterima penghantar makanan, Radha Krishnan yang kehilangan tangan kanan sejak usia 6 tahun akibat digilis kereta api selepas terjatuh dari landasan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 34 tahun ini yang selesa dipanggil Radha tidak pernah menganggap dirinya sebagai kelainan upaya, sebaliknya dengan kudrat yang ada dia mampu untuk bekerja dan menyara kehidupan seperti insan lain.

“Saya tidak mahu mencari simpati, sebagai manusia biasa pun semua orang kena kerja juga untuk menjana pendapatan, untuk menjalani kehidupan.

“Mereka ingat saya susah, sebenarnya saya lebih suka dengan kerja ini sebab tak terikat, (ada) ‘freedom’ la. Sekarang dapat beli apa yang kita idamkan, saya dah ‘enjoy’,” katanya ketika ditemui FMT.

Tiga hari jalan kaki skuter rosak

Terdahulu, kisah Radha yang berasal dari Kuala Lumpur ini mula menjadi perhatian selepas kesungguhannya menghantar makanan walaupun berjalan kaki tular di media sosial.

Radha berkata, dia tidak menyangka kisahnya mendapat perhatian ramai terutama warganet. Menceritakan semula apa yang berlaku, Radha berkata ketika itu dia terpaksa berjalan kaki untuk menghantar makanan selama tiga hari kerana basikal elektriknya belum dibaiki.

“Kalau kita dah ambil kita kena masuk kerja, jadi terpaksalah hari itu saya jalan kaki. Masa itu skuter (elektrik) ada masalah, tiga hari juga jalan kaki. Foodpanda ini kalau hari ini tak kerja esok tiada gaji, macam itulah,” ujarnya.

Rakan-rakan ‘rider’ kumpul duit beli skuter elektrik

Menceritakan kembali detik awal terlibat dalam bekerja sebagai penghantar makanan yang kini sudah melebihi setahun, Radha berkata pada awalnya dia menghantar makanan menggunakan basikal biasa.

Atas keprihatinan rakan-rakan penghantar makanan yang lain, mereka mengumpul wang dan membelikan sebuah skuter elektrik buat Radha bagi memudahkannya bergerak.

Namun atas keprihatinan rakan-rakan penghantar makanan yang lain, mereka telah mengumpul wang dan membeli sebuah skuter elektrik bagi memudahkannya bergerak, sebelum Radha sendiri kemudian mengumpul wang sendiri untuk membeli sebuah lagi kenderaan elektrik itu.

“Mereka semua kongsi belikan saya satu skuter tiga roda, jadi saya guna tiga roda itu dalam 6 bulan. Saya kumpul duit sikit beli satu skuter biasa, sebab satu skuter kalau kita nak tunggu cas dia lama, kalau ada dua lebih senang untuk saya,” katanya lagi.

Bantuan tangan palsu tak lulus, lesen tak lepas kerana tiada kenderaan sendiri

Meskipun redha dengan keadaan dirinya, namun jauh di sudut hati Radha mengakui tetap melalui detik kurang selesa apabila berhadapan pelbagai pandangan masyarakat terhadapnya.

Ujar Radha, sejak berumur 21 tahun dia telah membuat permohonan bantuan tangan palsu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun sehingga kini masih belum diluluskan.

“Perlu juga, sebab kadang-kadang kalau budak kecil nampak saya (akan berkata) ‘eh ini abang tak ada tangan’. Masa itu sakit hati sikit la, ‘abang tu tiada tangan’ macam itu dia cakap.

“Saya pun kadang-kadang tidak akan tengok cermin…saya takkan tengok, saya pergi dekat cermin saya sikat rambut, itu sahaja. Saya takkan tengok tangan saya,” katanya.

Selain itu, Radha juga meluahkan kekesalan apabila tidak dapat mengambil lesen kenderaan hanya kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri yang telah dimodifikasi, meskipun telah ada surat doktor mengesahkan dia boleh memandu.

“Kalau nak ambil lesen P saya kena ada kenderaan dulu. Biasanya kalau nak beli kereta syarat nak dapatkan pinjaman kena ada lesen memandu. Saya sangkut di sini kerana kalau nak beli kereta mereka minta lesen,” katanya yang hanya sempat lulus lesen L.

Sehubungan itu, Radha berharap agar pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil perhatian masalah ini kerana ia antara masalah utama dihadapi oleh golongan OKU apabila mahu mendapatkan lesen kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.