PKR umum calon PRU15 bulan depan, kata Rafizi

PKR umum calon PRU15 bulan depan, kata Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata parti itu bersedia tidak kira bila PRU15 diadakan.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau harap dapat selesaikan rundingan mengenai kerusi parti itu dalam tempoh sebulan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan parti itu akan memperkenalkan calon disenarai pendek untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh sebulan lagi.

Melabelkan PRU15 sebagai “perang”, Rafizi berkata akar umbi parti itu ada peranan untuk dimainkan dalam memerangi Barisan Nasional, sambil menambah PKR akan bersedia dengan jenteranya.

“Biarlah mereka (Umno) bergaduh sesama sendiri bila PRU15 perlu diadakan. Apa yang penting kita mesti bersedia.

“Dalam masa sebulan, kami akan menyenarai pendek calon dan menyelesaikan semua rundingan mengenai kerusi parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional PKR.

Rafizi turut menggesa akar umbi parti menjaga niat murni dan mengelak menjadi seperti bekas timbalan presiden Azmin Ali dan rakan-rakannya, yang sebelum ini “menikam belakang” parti.

“Jika ada yang menang (pada pilihan raya umum akan datang) tetapi tidak mendapat sebarang jawatan kerajaan, jangan tikam belakang kami seperti Azmin dan rakan-rakannya,” katanya.

Rafizi juga berkata, PKR bukan parti yang mudah dikalahkan dengan mengatakan ia mempunyai kekuatan untuk bangkit setiap kali tumbang.

“Setiap kali kita jatuh, setiap kali orang mentertawakan kita, kita dapat mencari kekuatan dalaman kita untuk bangkit semula dengan cepat,” katanya sambil menambah PKR sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan semula kedudukannya.

Mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS), Rafizi berkata pendedahan itu adalah untuk membuktikan bahawa ahli politik Melayu sendiri yang menjadi punca memudaratkan orang Melayu di negara ini.

“Ini adalah parti sama yang kononnya mahu membela orang Melayu. Yang melemahkan tentera (negara kita) bukanlah tentera kita.

“Apa yang melemahkan sistem ialah kekurangan peruntukan oleh Kementerian Pertahanan untuk persenjataan,” katanya.

Boustead Naval Shipyard (BNS) dianugerahkan kontrak untuk membina enam LCS bernilai RM9 bilion yang bermasalah, yang berada bawah penelitian Parlimen berhubung kos dan kelewatan dalam pembinaan.

Kapal pertama dilancarkan pada 2017 dan dijadualkan untuk penghantaran pada 2019, dengan selebihnya pada selang enam bulan. Bagaimanapun, tiada yang disiapkan atau dihantar.

Projek itu menimbulkan kontroversi awal bulan ini selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan keputusan pengurusan dan kontrak, menyebabkan tiada kapal dihantar walaupun RM6.08 bilion telah dibelanjakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.