PBB tak paksa Ahli Parlimen veteran undur, kata Abang Jo

PBB tak paksa Ahli Parlimen veteran undur, kata Abang Jo

Sebaliknya PBB mempunyai budaya iaitu penyandang sendiri yang akan mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada calon baharu.

PBB yang menerajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen.
KUCHING:
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan memaksa penyandang kerusi Parlimen daripada parti itu berundur dan memberi laluan kepada calon lebih muda.

Presidennya Abang Johari Openg berkata, sebaliknya PBB mempunyai budaya iaitu penyandang sendiri yang akan mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada calon baharu.

Katanya, buat masa ini memang terdapat penyandang kerusi Parlimen daripada parti itu yang menzahirkan hasrat tidak bertanding semula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“PBB akan umum nama penyandang yang mahu undur diri apabila kita tahu tarikh pilihan raya nanti.

“Kita ada budaya iaitu penyandang apabila mereka rasa sudah cukup masa berkhidmat untuk rakyat mereka akan secara sukarela undur diri dan beri pada orang muda, kita (PBB) takkan paksa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan surat hak milik tanah, cek pampasan tanah dan kunci rumah Darul Hana.

PBB yang menerajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen.

Tiga lagi parti komponen GPS ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memegang dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan satu kerusi.

Sebelum ini, Abang Johari yang juga pengerusi GPS berkata, berbekalkan kejayaan cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak ke-12 yang lepas, GPS kini berazam memenangi semua 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada penampilan pertamanya pada pilihan raya umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.