Nukilan buat ‘Bossku’ daripada pemimpin Umno

Nukilan buat ‘Bossku’ daripada pemimpin Umno

Kotak berlabel 'Nukilan buat Najib' diletakkan di luar Dewan Merdeka untuk pemimpin parti menyampaikan mesej kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Pemimpin Umno yang menghadiri taklimat khas presiden parti memasukkan mesej ke dalam kotak berlabel ‘Nukilan buat Najib’ yang diletakkan di luar Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
KUALA LUMPUR:
Pemimpin Umno dari semua negeri menulis mesej sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak menjelang taklimat khas oleh presiden Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Kotak berlabel “Nukilan buat Najib” diletakkan di luar Dewan Merdeka untuk pemimpin parti meninggalkan mesej kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Ketua Umno Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, antara pemimpin yang meninggalkan nukilan kepada bekas presiden parti itu.

“Saya berdoa supaya beliau sentiasa dilindungi Allah walau di mana pun beliau berada. Semoga nanti ada cahaya di hujung terowong,” katanya kepada FMT, ketika ditanya apa yang ditulisnya.

Beliau berharap Najib akan terus kuat menghadapi cabaran.

Seorang lagi pemimpin Umno, Masuri Jarkasi, memberitahu FMT bahawa beliau berterima kasih kepada Najib atas segala sumbangannya kepada parti dan negara dalam nukilan yang dihantarnya.

“Saya cuma harap sistem keadilan melayannya dengan adil,” kata ketua Umno Bahagian Pontian itu.

Sementara itu, Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos memberitahu pemberita taklimat hari ini akan merangkumi tuntutan keadilan berikutan sabitan Najib dalam perbicaraan SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan Selasa lepas.

Najib dihantar ke Penjara Kajang pada hari sama untuk memulakan hukuman penjara 12 tahun.

Pada Rabu, Zahid telah memanggil pemimpin parti untuk menghadiri taklimat khas pada pukul 2 petang hari ini. Semua ketua bahagian dan AJK telah dijemput.

Setiausaha agung parti Ahmad Maslan berkata tujuan mesyuarat itu adalah untuk membincangkan “isu semasa”.

Pada Khamis, perbicaraan 1MDB Najib disambung semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.