
Presiden Warisan yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, apa diperlukan oleh Warisan adalah seorang calon yang mendapat sokongan daripada pengundi dan rakyat, seterusnya memberikan kemenangan kepada kerusi ditandingi pada PRU15 nanti.
Katanya, beliau bukan menidakkan kepentingan jawatan dalam Warisan, namun apa yang perlu difahami semua adalah yang bertanding pada PRU15 nanti adalah parti itu, justeru calon yang dipilih perlu mempunyai potensi untuk membawa kemenangan kepada parti.
“Tidak semestinya dapat jawatan ketua bahagian, timbalan atau majlis tertinggi, akan sah dia jadi calon. Tidak. Kepimpinan dalam parti politik lain pun ada pegang jawatan tidak jadi calon,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021.
Shafie berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu berpotensi untuk menjadi calon parti itu, namun tidak memberitahu bilangan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU15.
Ditanya kemungkinan PRU15 diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Okt ini, beliau berkata ia tidak menjadi isu kepada Warisan kerana parti itu sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRU15 pada bila-bila masa.
Beliau berkata, parti itu tidak mengambil sikap menunggu pembubaran Parlimen untuk bersedia, sebaliknya telah mula turun padang berjumpa rakyat di peringkat akar umbi dan mengatur jenteranya menghadapi PRU15.
“Hari ini kita mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan juga merupakan salah satu persediaan kita untuk berhadapan dengan pilihan raya. Saya juga yakin pimpinan yang ada sudah bersedia dan mereka sentiasa turun padang untuk berjumpa rakyat,” katanya.
Sementara itu mengenai kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi PRU15, Shafie berkata Warisan sentiasa bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Kita telah menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan parti tempatan Sabah iaitu PBS, namun ditolak…sekiranya mereka mahu bekerjasama kita bersedia untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi. Kita tahu kekuatan yang ada pada PBS, dan kawasan yang mereka boleh menang,” katanya.